Pencemaran Sisa Toksik: Isytihar Darurat Antara Tiga Cadangan Ahmad Maslan Untuk Kerajaan


KUALA LUMPUR, 14 Mac – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan melontarkan cadangan agar kerajaan mengambil beberapa langkah berhubung pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang, Johor.

Menurut beliau antara cadangan berkenaan adalah kerajaan mengisytiharkan darurat bencana toksik di daerah Pasir Gudang kerana sebelum ini darurat bencana pernah diisytiharkan ketika jerebu melanda.

“Pada Jun 2013, Perdana Menteri waktu itu YB Pekan telah mengisytiharkan darurat bencana jerebu apabila Indeks Bacaan Udara (IPU) melebihi bacaan 500 di daerah Muar dan Ledang. Jadi ia bukanlah perkara pertama kali dilakukan jika diisytiharkan darurat berkaitan. Ia tidak perlu perintah berkurung tetapi ada SOP darurat bencana yang boleh diikuti.

“Antaranya kerajaan pusat boleh ambil alih usaha-usaha untuk melaksanakan permbersihan dikawasan berkaitan. Saya difahamkan untuk membersihkan Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang itu mengambil masa lebih tujuh hari.

“Jadi dalam tempoh tujuh hari itu tentunya ada banyak perkara boleh berlaku dan tentu sisa pencemaran toksik ini akan terus merebak,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Ahmad seterusnya menambah cadangan kedua pula ialah agar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang telah dipinda pada 2012, sudah tiba masanya untuk pindaan baharu dan antara perkara yang perlu dibuat adalah meningkatkan lebih hukuman dan juga penyelarasan antara kerajaan pusat serta kerajaan negeri yang lebih baik.

“Ketiganya supaya semua mangsa yang sekarang ini melebihi 500 dan dijangka bertambah diberikan pampasan yang sewajarnya. Jika berlaku bencana banjir kerajaan terdahulu memberikan pampasan dengan jumlah tertentu bagi rumah yang terkena banjir dengan ketinggian tertentu.

“Pada saya mereka yang terlibat terutama mereka yang hari ini berada di ICU tentulah memerlukan ubat-ubatan tertentu sebagai susulan misalnya selepas ini.

“Dan jika mereka ini ingin membawa pihak berkaitan ke mahkamah saya ingin mengesyorkan supaya semua pihak yang terlibat itu diuruskan oleh peguam tertentu agar boleh dapat pampasan sewajarnya daripada pihak berkaitan,” tegasnya.

Tambahnya lagi ketiga-tiga cadangan ini telah diutarakan pada sesi soal jawab menteri pagi tadi dan ianya adalah satu perkara yang serius dan berlaku lebih daripada tujuh hari yang lepas. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.