Kerjasama UMNO-PAS: Semua Pihak Boleh Berikan Pandangan – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 14 Mac – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua pihak boleh memberikan pandangan walaupun berbeza pendapat mengenai kerjasama antara UMNO dan PAS kerana ianya masih di peringkat jawatankuasa kerja yang belum memutuskan apa-apa mengenainya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti menegaskan apa yang penting hari ini, jawatankuasa telah pun bermesyuarat dan jawatankuasa kerja mengenai kerjasama antara kedua-dua parti telah pun diwujudkan.

“Kita sedang merangka… setakat ini jawatankuasa induk telah pun bermesyuarat pertama kali dan menyerahkan kepada jawatankuasa kerja untuk melihat secara terperinci kerjasama apa yang kita akan laksanakan. Dari segi terperincinya apa yang kita buat belum ada spesifik lagi. Sebab itulah anggapan dan istilah berbeza-beza.

“Kita masih boleh bercanggah dari segi pandangan. Sesiapa pun boleh memberikan pandangan walaupun berbeza kerana tidak ada keputusan pun mengenai apa yang akan dilaksanakan oleh UMNO dan PAS untuk masa depan.

“Yang penting jawatankuasa telah pun bermesyuarat, jawatankuasa kerja telah diwujudkan… jadi pada saya lebih baik kita serahkan kepada jawatankusa kerja ini dan selepas itu mereka datang balik dan bentang ‘proposal’. Selepas itu baru kita boleh tahu apa yang mahu dilakukan secara bersama oleh UMNO dan PAS ini,” katanya menjawab soalan daripada media di lobi parlimen, di sini, hari ini.

Ismail Sabri seterusnya menambah sehingga kini kerjasama di peringkat Pilihan Raya Kecil (PRK) telah pun berjalan dan begitu juga kerjasama di peringkat Parlimen.

“Kerjasama itu dah ada cuma secara bertulis dan secara terperinci belum. Setakat ini sesiapa yang ingin memberikan pandangan kita alu-alukan… mungkin selepas ini jawatankuasa kerja akan lihat pandangan-pandangan yang diberikan oleh kedua-dua belah pihak.

“Kerjasama bagaimana, adakah kerjasama mahu mewujudkan kerajaan campuran di negeri-negeri… belum ada keputusan apa-apa pun. Perbincangan daripada jawatankuasa kerja pun saya tidak tahu. Dah mula atau belum.

“Kita bagi mereka sebulan setengah untuk ‘come out’ dengan proposal. Jadi setakat hari ini kita masih belum boleh menentukan apa dia… ‘working committee’ akan lihat semua isu… mungkin kerjasama PRU, pembahagian kerusi ataupun pembentukan kerajaan dan sebagainya. Mungkin… mungkin…,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.