Kerajaan Wajar Isytihar Darurat Bencana Segera, Usah Kira Implikasi Kewangan – Pemuda UMNO


KUALA LUMPUR, 14 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia amat dukacita dan terkesan mengikuti laporan media massa berkenaan bilangan mangsa kes pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim yang sudah mencecah 975 orang dan 111 buah sekolah telah ditutup sehingga notis pemberitahuan kelak.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keadaan nampaknya semakin tidak terkawal dan risiko kepada rakyat semakin meningkat.

“Dalam keadaan kritikal sebegini, usahlah dikira implikasi kewangan yang harus ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan. Keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Pasir Gudang harus diberi keutamaan.

“Semua pihak perlu hentikan menuding jari antara satu sama lain buat seketika dan tumpukan seluruh tenaga bagi bekerjasama mencari jalan untuk mengatasi musibah yang melanda,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Justeru katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar Putrajaya segera mengisytiharkan Darurat Bencana bagi kawasan yang terjejas di Pasir Gudang seperti yang termaktub di dalam Arahan No. 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Seluruh jentera Kerajaan Persekutuan yang ada harus digembleng bagi menstabilkan keadaan di sana. Rakyat semakin resah dan gusar akan keselamatan diri mereka.

“Ayuh juga kita sama-sama adakan solat hajat dan berdoa bagi kesejahteraan mangsa-mangsa dan rakyat di Pasir Gudang. Moga Allah melindungi kita semua daripada musibah yang lebih buruk lagi,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.