Bangkit Isu Pencemaran Toksik, Tiada Agenda Politik Tapi Prihatin Pada Rakyat


KUALA LUMPUR, 14 Mac – Tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang membangkitkan isu pencemaran sisa toksik di Dewan Rakyat hari ini bukanlah untuk tujuan politik tapi prihatin pada rakyat, tegas Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya, anggota Parlimen pembangkang amat serius untuk melihat perkara berkaitan pencemaran sisa toksik di kawasan Pasir Gudang dapat diselesaikan segera.

“Menteri kata jangan politikkan, tidak… kita tidak politikkan isu ini kerana kita sangat prihatin… yang jadi mangsa ini anak-anak, kalau tutup sekolah saja dah 111 sekolah… ini angin yang membawa bau kimia yang boleh mengganggu saraf, bukannya boleh ditolak.

“Apa tindakan kerajaan terhadap taska, tadika, dan tempat-tempat awam… ya, rumah boleh tutuplah.

“Kalau di Parlimen Malaysia pihak kerajaan tak mahu mengambil serius maka kami di pembangkang memang dah bersedia tapi tadi Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PH sendiri yang bawa usul ini, jadi kem pembangkang menyokong penuh. Kita tak mahu melihat ada kematian, kita tak boleh kompromi dalam isu krisis seperti ini,” katanya kepada UMNO-Online di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, pagi tadi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata jangan main politik dan jangan menuding jari ketika memberi respons kepada Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam isu ini.

Dr Adham juga sangat dukacita dengan kelewatan gerakan usaha kerajaan untuk menamatkan penyebaran bahan kimia ini.

“Kalau kerajaan nak ambil ini sebagai kesejahteraan rakyat… tak boleh lewat. Saya difahamkan tadi nak bersihkan pun tujuh hari… ini dah tujuh hari berlalu,” katanya.

Jelas beliau, berkaitan dengan pembuangan bahan kimia, ia bukan saja patut dikendali oleh Jabatan Alam Sekitar tapi juga patut diletakkan di bawah Kanun Keseksaan Jenayah kerana orang yang melepaskan atau membuang bahan toksik ini tahu kemana patutnya perlu dibuang atau diletak.

“Maknanya mereka ada sesuatu motif tertentu kenapa mereka melepaskan di sungai awam sedangkan mengikut SOP tahu apa perlu dibuat.

“Jadi saya sokong penuh apabila speaker nak bawa usul di Parlimen petang ini, bagi dibahas bukan saja kaedah bagi menamatkan krisis ini tapi kita mahu bawa orang yang membuat onar ini dihukum,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.