Pencemaran Toksik: Khaled Kesal Kerajaan Negeri Masih Tak Tegas, Gagal Dan Lemah


JOHOR BAHRU, 13 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin melahirkan rasa sangat terkesan dan kesal dengan tragedi serta kecelakaan yang terjadi di Pasir Gudang akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak pengilang yang dipercayai membuang sisa kimia bertoksik ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang menjejaskan keselamatan awam.

“Lebih malang dan sangat dikesalkan adalah kegagalan dan kelemahan Kerajaan Negeri dalam menguruskan perkara ini. Sehingga ke saat ini, tiada sebarang ketegasan dapat dilihat. Apatah lagi rasa simpati, prihatin atau pertanggungjawaban kepada semua mangsa dan keluarga mereka.”

Katanya, ia bukan sahaja telah memudaratkan alam sekitar, malah sehingga kini, 13 sekolah ditutup dan lebih 200 pelajar sekolah, pekerja serta orang awam di kawasan sekitar telah menerima padah dan terpaksa menanggung musibah kesan tindakan yang bukan pun salah mereka.

“Saya merakamkan simpati dan ucapan takziah kepada semua mereka yang terkesan dengan tragedi ini dan berharap semua pihak akan mendapat pembelaan yang sewajarnya dari Kerajaan Negeri,” katanya yang juga mantan Menteri Besar Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Katanya, keadaan kini dilaporkan semakin kritikal dengan jumlah mereka yang dimasukkan ke hospital dan ICU untuk menerima rawatan juga meningkat dan keadaan keseluruhan belum menunjukkan sebarang perkembangan yang positif.

“Paling merisaukan, tidak ada jaminan atau kepastian daripada Kerajaan Negeri atau pihak berwajib. Adakah perkara ini sekarang berada dalam keadaan terkawal dan sedang diuruskan dengan baik? Adakah Pasir Gudang kini selamat? Atau adakah keadaan sebenarnya di luar kawalan dan akan terus merebak dan menjadi semakin kronik?

“Semua ini tidak dijelaskan oleh Kerajaan Negeri sekali gus menimbulkan rasa panik dan takut dalam kalangan orang awam,” ujarnya dalam kenyataan media menerusi Facebooknya, hari ini.

Malah, katanya, kita semua tidak pasti, adakah Kerajaan Negeri sebenarnya telah melakukan penilaian komprehensif terhadap pencemaran ini dan sudah mempunyai pelan tindakan atau mitigasi yang jelas atau mereka sendiri sebenarnya masih tidak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya?

“Sejak kejadian ini dikesan, tidak wujud tindakan segera atau langkah pengawalan / pengurusan yang bersesuaian diambil oleh Kerajaan Negeri.”

Susulan itu, beliau menggesa agar:

Pertama, Jawatankuasa Kerja yang telah diaktifkan mesti mendalami perkara ini secara lebih serius dan berfokus. Bukan sekadar tunggu dan lihat sahaja. Bukan sekadar keluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan ini. Ini adalah kes kesihatan dan keselamatan yang melibatkan nyawa. Jabatan Alam Sekitar Negeri dan wakil dari Putrajaya, Kementerian Kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak-pihak pakar dan berkaitan mesti dirujuk dan dilibatkan.

Kedua, sediakan wakil khas dari Kerajaan Negeri untuk berurusan dan memberikan perkembangan terkini kepada semua mangsa dan keluarga terlibat, wakil media serta orang awam. Masyarakat tidak seharusnya dibiarkan terkapai-kapai, gelisah serta bimbang akan status kes ini.

Ketiga, mohon agar diasingkan satu peruntukkan dana khas untuk membantu semua mangsa dan disalurkan dengan segera.

Katanya, sebagai sebuah kawasan industri, adalah sangat kritikal untuk Kerajaan Negeri memastikan yang kualiti alam sekitar serta tahap keselamatan awam Pasir Gudang, serta Johor umumnya, tidak dibiarkan terjejas, merosot dan mengancam nyawa. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.