Azmin Cuba Berdolak Dalih, Gagal Beri Penjelasan Ketiadaan Anwar Dalam MTEN


KUALA LUMPUR, 12 Mac – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dilihat cuba berdolak dalih dan gagal dalam memberikan penjelasan berhubung ketiadaan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) ketika sesi soal jawab lisan di Parlimen pagi tadi.

Perkara berkenaan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mencelah dengan menimbulkan persoalan berkenaan memandangkan Anwar bukan sahaja mempunyai pengalaman yang luas malah sebelum ini merupakan bekas menteri kewangan.

“Memandangkan MTEN ini satu jawatankuasa yang terpaksa dibentuk berikutan ketidakupayaan pihak kerajaan terutamanya Menteri Kewangan dalam menguruskan ekonomi, sedangkan kita ada mantan menteri kewangan daripada Port Dickson yang ada pengalaman yang luas dan sebagainya, kenapakah Port Dickson tidak dilantik di dalam jawatankuasa ini.

“Adakah ini satu perancangan untuk mengekang Port Dickson sedangkan beliau yang akan mewarisi kelemahan ini. Kelemahan dan pengurusan ekonomi bakal diwarisi oleh Port Dickson. Kenapa Port Dickson tidak dilantik,“ soalnya.

Azmin dalam jawapannya berkata beliau telah lama mengenali Ahli Parlimen Ketereh dan selama 20 tahun ahli parlimen berkenaan menyerang Port Dickson habis-habisan.

“Saya kenal lama dengan Ketereh ini. Baru pagi ini nak sokong Port Dickson… Selama 20 tahun beliaulah yang terlibat menyerang Port Dickson habis-habisan,“ katanya.

Jawapan Azmin itu mengundang sekali lagi celahan Annuar Musa yang menyatakan soal sokong atau tidak belum tentu lagi kerana perkara tersebut akan ditentukan apabila ada undi tidak percaya.

“Belum tahu sokong…ini cadangan…nak sokong atau tidak sokong apabila ada undi tidak percaya baru kita tentukan sokong atau tidak sokong…yang kita risau Gombak ( Datuk Seri Azmin Ali) tidak sokong Port Dickson,“ tambahnya.

Perang mulut berkenaan menimbulkan riuh rendah dan gelak tawa di kalangan ahli parlimen dan kemudiannya ditenteramkan oleh Speaker dewan.

Azmin yang menyambung ucapannya menegaskan tidak timbul isu undi tidak percaya.

“Tidak timbul isu undi tidak percaya …hari ini pakatan telah menekankan kita akan memberi sokongan yang kuat dan padu kepada kepimpinan perdana menteri.

“Keduanya tidak timbul masalah menteri kewangan gagal atau mana-mana jemaah menteri kabinet gagal. Kita buat kerja secara kolektif, secara bersama. Di dalam jemaah menteri kabinet kita bincang secara bersama dan muafakat dan kerjasama itulah membawa kejayaan.

“Tetapi majlis ini dibentuk di luar kerajaan supaya kita juga dapat pandangan daripada pakar-pakar dan tokoh akademik. Kita mengambil sikap yang inklusif dan kita mengambil sikap pandangan semua dalam membentuk satu dasar yang lebih responsif kepada masalah rakyat,“ tambahnya. – Media UMNO