Sebab Kenapa Dap Takut Sangat Penyatuan Ummah UMNO-Pas Hingga Tuduh Taliban…


IPOH, 11 Mac – Penyatuan ummah antara UMNO dan Pas digeruni oleh musuh Melayu dan musuh Islam terutamanya Dap, kata Ketua Penerangan UMNO Perak, Dàtuk Mohd Zolkafly Harun.

Namun begitu katanya, mereka tidak perlu gerun sehingga menuduh akan mewujudkan dan mencontohi negara Afghanistan seperti Taliban.

“Adakah kerisauan mereka akan membongkar semula kes-kes penyalahgunaan kuasa pemimpin mereka daripada Dap?”

Soalnya, siapakah Nga Kor Ming yang mahu menuduh seolah penyatuan ini bakal mewujudkan ketegangan kaum dan melahirkan tentera Taliban sehingga boleh menyebabkan rakyat berasa gusar?

“Kegerunan utama Dap ialah kerana Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bakal jatuh dalam sehari dua ini kerana kekuatan penyatuan ummah.

“Apabila PH jatuh dan Dap terpinggir, segala agenda ‘Malaysian Malaysia’ Dap akan terencat dan banyak tembelang mereka ketika memerintah 10 bulan ini akan terbongkar,” katanya dalam kenyataan media.

Jelasnya, itulah yang paling menggerunkan Dap dan menteri serta pegawai-pegawai khas Dap yang menjarah kementerian, jabatan, agensi dan institusi kerajaan.

“Di Perak, seperti pengetahuan umum apakah yang berlaku sewaktu mereka menjadi Kerajaan dalam tempoh 11 bulan?”

Jelas beliau UMNO dan Pas adalah parti terbesar Islam yang memikul amanah besar untuk penyatuan ummah yang sangat penting.

“Setiap agama menyuruh setiap rakyat bersatu dan melarang berbalah, berpecah-belah. Kerjasama UMNO-Pas adalah kerana tuntutan agama yang tidak mahu rakyat berpecah-belah sehinggakan mewujudkan ketegangan kaum,” tegasnya lagi.

Kor Ming dalam satu majlis di Taiping, dilaporkan berkata kerjasama UMNO dan Pas akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan sekali gus memecah-belahkan rakyat.

Katanya dalam laporan Malaysia Gazette yang memetik akhbar Kwang Wah Yit Poh, rakyat akan menderita apabila UMNO dan Pas membentuk kerajaan kerana keadaan itu disifatkan sebagai tiada patah balik.

Sebelum itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menyifatkan kerjasama di antara Pas dan UMNO telah ‘mengisytiharkan peperangan terhadap bukan Melayu’.

Bagaimanapun kenyataan tersebut ditarik balik dan diubah beberapa minit kemudian selepas mendapat kecaman daripada warganet. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.