Lebih Baik Guan Eng Fokus Ekonomi Negara Daripada Curah Minyak Dalam Api


KUALA LUMPUR, 11 Mac – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sepatutnya lebih fokus kepada keadaan kewangan negara yang kian meruncing disebabkan kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) daripada mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang dianggap seperti mencurah minyak dalam api.

Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuantan, Mohd Afif Mohd Anuar menganggap kenyataan Guan Eng amatlah tidak bertanggungjawab dan ekstrimis.

“YB Lim Guan Eng sepatutnya lebih peka kepada sensitiviti masyarakat Melayu di negara ini dan malangnya ia tidak berlaku apabila beliau mengeluarkan kenyataan bahawa penyatuan UMNO dan PAS adalah penisytiharaan ‘perang’ kepada kaum lain.

“Saya amat kesal dengan kenyataan ini kerana beliau adalah seorang menteri dan dengan kenyataan ini, beliau bagai mencurah minyak ke dalam api yang kian marak.

“Saya yakin dan percaya bahawa perkara ini menjadi kebimbangan dan kemarahan masyarakat bukan sahaja orang Melayu tetapi bangsa lain yang cinta dan sayangkan keamanan,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO-Online.

Katanya, dengan melihat berbagai insiden yang berlaku kebelakangan ini, beliau menyeru pihak yang berwajib agar tegas dalam isu seperti ini kerana bimbang pemikiran generasi rakyat Malaysia yang akan datang di racuni idealogi perkauman sekaligus merencatkan objektif negara Malaysia itu sendiri.

“Beliau sepatutnya lebih fokus kepada keadaan kewangan negara yang kian meruncing di sebabkan kegagalan mentadbir dengan baik hingga menyebabkan Khazanah Nasional juga rugi besar sejak 2005. Saya rasa ini adalah lebih elok untuk beliau fikirkan bukan sifat cauvinisme.”

Katanya, dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, keharmonian amatlah penting bagi menjaga kestabilan sosio politik dan sosio ekonomi
supaya ia tidak lari dari tunjang yang telah di bina sejak sebelum mencapai kemerdekaan.

“Pemuda UMNO Malaysia telah membuat laporan polis terhadap beliau dan saya amat berharap isu yang menyentuh sensitiviti kaum perlu di tangani tanpa mengira siapa pesalahnya.

“Saya juga berharap YAB Perdana Menteri sedar akan bahaya kenyataan seperti ini yang bagai mencurah garam di luka yang masih berdarah,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.