Lihat UMNO Dalam BN Lebih 60 Tahun, Pas Pula Di Kelantan… Tak Ada Diskriminasi Kaum


JASIN, 10 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah memberikan jaminan bahawa kerjasama antara parti itu dengan Pas sama sekali tidak akan meminggirkan mana-mana kaum di negara ini sebaliknya akan diperkukuhkan dalam usaha menjadikan sebuah negara yang hebat.

Berucap pada ‘Siri Jelajah Penerangan Rakyat: Malapetaka Penjajahan Malaysia Baharu’ di Jasin malam tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong beberapa kali menekankan soal berkenaan malah turut mengimbau bagaimana UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) bersama rakan-rakan lain tidak sama sekali mendiskriminasi kaum-kaum lain di negara ini.

“Malah cuba tengok Pas memerintah Kelantan sehingga kini dan Terengganu pada satu ketika dahulu… ada tak jadi Taliban? UMNO dan Pas ini parti yang berwibawa. Kita faham situasi politik dan landskap yang pelbagai kaum.

“Untuk menjadi sebuah negara yang hebat, realiti politik dalam negara ini mesti kita wujudkan persefahaman antara kaum dan UMNO serta Pas juga akan meminta kaum lain dalam mengukuhkan lagi perpaduan.

“Insya-Allah UMNO dan Pas akan menawarkan yang terbaik… kalaulah sebagaimana yang diperkatakan oleh Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan pada satu majlis di Melaka, mengenai kerjasama diperingkat kerajaan negeri seperti di Perlis BN boleh bersama dengan Pas, Terengganu pula bersama dengan BN dan begitu juga Kelantan… serta di Pahang bersama Pas, kita akan tunjukkan ‘role model’ yang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Pentas berkenaan turut menampilkan Ketua Penerangan Pas, Ustaz Nasruddin Hasan Tantawi; Pesuruhjaya Pas Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek dan ADUN Merlimau, Datuk Roslan Ahmad.

Shamsul seterusnya percaya kerjasama antara kedua-dua parti politik Melayu terbesar di negara ini akan turut menggembirakan seluruh rakyat termasuklah kaum lain kerana rahmatnya akan melimpah dan memberi kebaikan kepada semua pihak.

“Kita tahu sejarah UMNO dan Pas ini terlalu lama. Sejarah sebelum ini kedua-dua boleh bersama dan berpisah seketika… tentunya kali ini dengan cabaran yang besar, kesatuan akan lebih kuat dan kita akan memberikan sesuatu yang terbaik untuk rakyat.

“Nak berlinang air mata saya menyambut kedatangan pimpinan Pas pada 5 Mac lalu di PWTC… dan akhirnya kita bermesyuarat dalam jawatankuasa tertinggi antara kedua-dua parti dalam perasaan gembira yang saya percaya pada saat itu turut dikongsi oleh seluruh rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Ustaz Nasruddin Hasan Tantawi pula beranggapan bukan perkara pelik apabila hubungan antara kedua-dua parti berkenaan menimbulkan kegelisahan kepada sesetengah pihak.

“Apabila hubungan Pas dengan UMNO yang semakin hari semakin akrab… paling melenting dan yang paling panas adalah siapa kalau tidak pemimpin-pemimpin Dap. Lim Guan Eng awal-awal lagi sudah mengeluarkan kenyataan awal bahawa kerjasama ini adalah ‘pengisytiharan perang’ kepada orang-orang bukan Melayu. Satu kenyataan yang bermaksud dan berniat jahat.

“Padahal dalam BN masih ada MIC… masih ada MCA, dalam Pas masih ada Dewan Himpunan Penyokong Pas yang terdiri daripada kalangan bukan Islam dan bukan Melayu. Tidak pernah seorang pun pemimpin di kalangan kita mengeluarkan kenyataan untuk memerangi ‘non muslim’ dan sebagainya. Maksudnya dia apa… panik dan takut sehingga akhirnya tidak cermat mengeluarkan kenyataan yang terpaksa ditarik balik,” katanya.

Katanya lagi kenyataan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming pula berhubung perkara yang sama tidak lagi laku dan kenyataan yang sudah basi pada zaman ini.

“Hari ini pula timbalan speaker lebih jelas mengeluarkan kenyataan kononnya kerjasama ini jika sekiranya rakyat memberikan kemenangan dalam PRU akan datang nescaya negara kita akan menjadi Afghanistan yang dipimpin oleh Taliban… beliau cuba memperbodohkan pemikiran rakyat.

“Kenyataan ini kenyataan yang sudah basi yang tidak laku pada zaman ini. Saya percaya kenyataan ini tidak akan dipedulikan oleh rakyat malah rakyat makin gembira dengan berita kerjasama dua parti Melayu terbesar dalam negara kita.

“Bukan sahaja dikalangan pimpinan… yang lebih gembira lagi ialah diperingkat akar umbi sebab kelompok inilah yang selalu bertemu dalam kenduri kendara, yang selalu bertemu di masjid dan surau, yang selalu bertemu di kampung halaman dan jiran tetangga mereka,” katanya.

Beliau seterusnya menambah fitnah yang datang bertalu-talu tidak akan mematahkan perjuangan malah ianya masih mampu diteruskan dan insya-Allah kejayaan akan menjelma kelak.

“Yakin dan percaya insya-Allah selagi mana perjuangan kita benar… kita tidak rasuah… kita tidak menipu walaupun seribu satu fitnah dilemparkan kepada kita, kita mampu senyum dan tenang untuk berdepan masyarakat dan kita meneruskan perjuangan ini. Jangan bimbang akan sampai detik masa dan ketika Allah swt berikan kejayaan dan kemenangan kepada perjuangan ini,” tambahnya dengan yakin. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.