Lagi Laporan Polis Terhadap Guang Eng, Boleh Ganggu-Gugat Perpaduan

NIBONG TEBAL, 10 Mac – Pemuda UMNO, Dewan Pemuda Pas dan MIC Nibong Tebal telah membuat laporan polis terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan UMNO dan Pas telah ‘mengisytiharkan perang’ kepada orang masyarakat bukan Melayu.

Jelas Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Mohd Norhiesam Ismail, kenyataan Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung Dap itu sangat biadap, rasis dan tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat perpaduan kaum serta keharmonian masyarakat majmuk dalam negara ini.

“Kami berasa sangat kesal dan marah dengan kenyataan Guan Eng. Ini jelas menunjukkan sikap dia yang pendendam dan iri hati terhadap kerjasama antara UMNO dan Pas ini. Guan Eng seperti ‘panas punggung’ dan ‘cacing kepanasan’ melihat hubungan baik yang semakin kukuh antara dua parti Melayu Islam terbesar di Malaysia ini.

“…ditambah pula dengan dua kekalahan besar Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih yang menyaksikan kerjasama kedua-dua parti telah mencapai kemenangan yang cukup selesa dan diterima rakyat khususnya pengundi-pengundi Melayu.

“Kenapa Guan Eng perlu takut dengan situasi ini sehinggakan terpaksa mengeluarkan kenyataan biadab serta dangkal seperti ini. Cerminlah diri sendiri terlebih dahulu. Sebelum ini Guan Eng seringkali mengatakan UMNO dan Pas rasis tetapi sebaliknya dialah yang sebenarnya rasis,” jelas beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Norhiesam, sebagai Menteri kanan dalam Kerajaan PH, Guan Eng seharusnya mengembalikan keyakinan rakyat kepada Kerajaan baru dengan menunaikan segala Manifesto PH pada PRU-14 yang lalu, bukannya menambah kebencian rakyat.

“Selesaikan banyak masalah rakyat seperti menangani kos barang yang semakin meningkat, beban kehidupan rakyat, masalah bantuan petani, pesawah dan banyak lagi yang boleh dilakukan dalam membantu meningkatkan ekonomi negara.

“Kami ingin menggesa kepada pihak berkuasa agar satu tindakan tegas perlu diambil khususnya menerusi Akta Hasutan kepada Guan Eng kerana telah jelas kenyataannya boleh menggugat keamanan dan keharmonian antara kaum di Malaysia. Perkara ini cukup serius dan membimbangkan,” tegas beliau.

Sementara itu, Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Abdul Mushawwir Abd Rashid dan Ketua Pemuda MIC, Ellangovan A/L Gengan mendesak agar Guan Eng memohon maaf atas kenyataan tersebut dan meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan atas tanggungjawab mengeluarkan kenyataan biadab ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.