Abaikan Pandangan Sinis Kerjasama UMNO-Pas, Terus Perkukuh Hingga Ke Akar Umbi

JASIN, 10 Mac – Timbalan Ketua UMNO Jasin, Datuk Roslan Ahmad percaya akan ada pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan kerjasama antara parti itu bersama Pas yang memasuki fasa rasmi.

Menurut beliau sebenarnya semua pihak tidak perlu bimbang dengan penyatuan ummah khususnya kerjasama antara Pas dan UMNO kerana ianya adalah untuk kepentingan semua dan tanggapan sinis sesetengah pihak berhubung perkara tersebut adalah kenyataan yang tidak benar sama sekali.

“Hari ini kita pedulikan kenyataan-kenyataan mengenai soal ini di media sosial dengan macam-macam. Semua boleh mengundang gundah-gulana kita untuk memecahbelahkan kesatuan dan kerjasama ini.

Cybertrooper ini semata-mata untuk memecahbelahkan kesatuan ataupun melihat kita berpecah. Sebab itu saya harap orang UMNO dan orang Pas kita tingkatkan dan sama-sama bulatkan hati kita untuk memastikan bahawa hubungan dan kerjasama yang baik ini dapat diteruskan sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Siri Jelajah Penerangan Rakyat ‘Malapetaka Penjajahan Malaysia Baharu’ di sini, malam tadi.

Pentas berkenaan turut menampilkan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Penerangan Pas, Ustaz Nasruddin Hasan Tantawi dan Pesuruhjaya Pas Melaka, Ustaz Hj Kamarudin Sidek

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Melaka Ustaz Abdul Halim Shafie dalam ucapannya pula melihat kerjasama antara kedua-dua parti tersebut menimbulkan ketakutan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Mereka cukup takut dengan kerjasama yang dilakukan UMNO dan Pas ini. Apa pun Ta’wun (kerjasama) ini haruslah sama-sama jujur, ikhlas dan bertolak-ansur demi penyatuan ummah. Kita harus ketepikan perbezaan pendapat kerana kita adalah satu agama, bangsa, kiblat dan juga satu syahadah,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.