Kerajaan ‘Penyatuan Ummah’ UMNO, Pas di empat negeri

JASIN 9 Mac – UMNO berhasrat mewujudkan kerajaan campuran dikenali sebagai kerajaan Penyatuan Ummah di empat buah negeri yang kini ditadbir Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hasrat itu telah dibincangkan dengan Pas pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas kedua-dua parti, baru-baru ini dan ia masih di peringkat cadangan sebelum tindakan lanjut.

Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang akan bertindak sebagai penyelaras bersama jawatankuasa dibentuk Pas kelak.

“Sebab itu saya bincang dengan Pas tempoh hari, kalau boleh kita mulakan dulu kerajaan campuran dikenali sebagai Kerajaan Penyatuan Ummah ini di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perlis.

“Manakala di Perak dan Kedah yang mempunyai perbezaan kecil kerusi antara BN, Pas dan Pakatan Harapan (PH) juga kita akan ‘goncangkan’ agar mereka (PH) tidak senang duduk,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas bersama kepemimpinan UMNO Melaka di Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Ketua UMNO Jasin, Datuk Roslan Ahmad. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.