Tiada Konsensus Bubar BN : MCA, MIC Kekal Bersama BN


KUALA LUMPUR, 8 Mac – MCA dan MIC kekal dalam Barisan Nasional (BN) selepas Mesyuarat Tertinggi BN hari ini sebulat suara menolak resolusi perhimpunan agung tahunan MCA yang mencadangkan untuk membubarkan BN.

Menurut Timbalan Presiden BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, tiada sebarang konsensus dicapai untuk membubarkan BN namun satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menstruktur semula gerak kerja parti sebagai persediaan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Penubuhan jawatankuasa ini juga selaras dengan resolusi yang dibentangkan oleh MCA iaitu membubarkan BN dan satu kajian menstruktur jawatankuasa mesti diadakan bersama-sama untuk melihat cara gerak kerja bagi menyediakan parti sebagai persediaan berhadapan PRU-15.

“Datuk Wee Ka Siong telah membentangkan secara terperinci bagaimana resolusi itu terjadi. Mesyuarat BN mencapai kata sepakat tidak ada konsensus untuk membubarkan BN tapi kita memandang serius saranan dalam resolusi itu.

“MIC juga banyak membentangkan rasa ketidakpuasan hati tentang isu-isu semasa dalam BN semasa menjadi kerajaan. Tidak banyak berkaitan BN tetapi pihak ekskutif. Apa yang dilakukan ekskutif melemahkan MIC dengan bantuan secara terus kepada warga India, tidak melalui MIC.

“Ini kita ambil perhatian untuk melihat pentadbiran di peringkat negeri dan Parlimen. Tidak ada lagi pihak yang akan berasa kecil hati atau dipinggirkan atau ada pihak yang berada dominan dan lain-lain,” ujar beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

Tambah beliau, mesyuarat juga membincangkan hala tuju parti untuk masa depan selain hal berkaitan keputusan PRK yang telah diadakan selepas PRU-14 yang lalu.

“Kita buat ‘post-morterm’ tentang PRK Cameron Highlands dan Semenyih dan mendengar tentang persiapan BN bagi menghadapi PRK Rantau.

“UMNO juga membentangkan kerjasama UMNO bersama PAS atas isu penyatuan ummah dan ia dijalankan atas UMNO dan PAS. MIC dan MCA faham apa yang hendak kita buat dan menyokong perkara ini.

“Kita bukan lagi dalam kerajaan jadi setiap parti perlu memperkasakan parti masing-masing. Atas persefahaman inilah setiap parti diberi ruang untuk bergerak sendiri sama seperti MCA dulu bila kita bagi bagi bertanding dalam PRK guna logo sendiri,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.