Tengku Adnan Kekal Setiausaha Agung BN


KUALA LUMPUR, 8 Mac – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kekal sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), umum Timbalan Presiden BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau, berdasarkan piagam di dalam BN, maka Tengku Adnan masih lagi Setiausaha Agung BN yang sah kerana beliau tidak pernah meletak jawatan mahupun dipecat.

“Memandangkan piagam dalam BN, apa sahaja keputusan yang diambil dan penjawatan yang dilantik mestilah melalui konsensus, jadi Setiausaha BN masih lagi dipegang oleh Tengku Adnan. Pelantikan Nazri pula tidak diperakukan oleh BN kerana dalam BN, ia mesti dibawa dalam mesyuarat dan mesti dicadang dan disokong.

“Perkara ini telah dipersetujui oleh semua pihak dalam BN dan Tengku Adnan akan terus menjadi Setiausaha BN sehingga satu tarikh sama ada beliau meletak jawatan mahupun diberhentikan,” ujar beliau kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Selain itu tambah Mohamad, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad pula dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif BN bagi menggantikan Datuk Abu Khamis yang meletak jawatan kerana masalah kesihatan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.