Lim Guan Eng Petualang Negara, Tak Layak Jawat Menteri Kewangan


JOHOR BAHRU, 8 Mac – Kepimpinan Pemuda UMNO, MIC, MCA dan PAS Johor Bahru mengambil pendirian dan sepakat bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, merupakan satu kenyataan yang berniat jahat, menghasut dan membakar perpaduan kaum di negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menegaskan bahawa Guan Eng adalah petualang negara dan tidak layak memegang jawatan Menteri Kewangan yang mewakili Malaysia.

“Kenyataan Lim Guan Eng ini seharusnya ditolak oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik kerana jelas ia seperi mengapi-apikan kemarahan kaum di negara ini.

“Saya percaya, kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau tidak mewakili suara orang bukan Melayu, sebaliknya ia dikeluarkan oleh individu seperti beliau yang dangkal, bencikan perpaduan dan tidak mempunyai jati diri serta identiti sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan bersama kepimpinan Pemuda UMNO, MIC,
MCA dan PAS Johor selepas membuat laporan polis di IPD Johor Bahru Selatan, malam tadi.

Katanya, jelas hari ini menggambarkan wajah sebenar watak individu seperti Lim Guan Eng dan DAP yang akan sentiasa berusaha menggagalkan perpaduan dan toleransi antara kaum di negara ini.

“Saya ingin tegaskan bahawa Lim Guan Eng tidak perlu campur tangan dalam perpaduan orang Melayu di negara ini. Dulu, kini dan selamanya, orang Melayu tidak pernah menindas, memulau dan memingirkan kaum-kaum lain di negara ini.

“Malah kehadiran Ketua-Ketua Pemuda Komponen Barisan Nasional yang diwakili UMNO, MIC dan MCA serta disertai oleh parti PAS dalam laporan polis hari ini, jelas menggambarkan kesepaduan dan muafakat kaum yang tinggi.”

Sehubungan itu, sayap Pemuda tersebut menggesa supaya Lim Guan Eng memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau.

“Sayap Pemuda menggesa agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara bertegas mengambil tindakan terhadap kenyataan tersebut dan ia wajib disiasat di bawah Akta Hasutan.

“Siasatan secara adil dan demi menjaga sensitiviti kaum terutama orang Melayu yang terguris dengan kenyataan beliau perlu diteruskan.”

Sebelum ini, Lim Guan Eng seperti yang disiarkan oleh Malaysiakini menggambarkan perpaduan ummah di antara UMNO-PAS sebagai ‘perang’ kepada orang bukan Melayu namun kemudiannya ditukar selepas dikecam warganet. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.