Lapor Polis: Guan Eng Suka Provokasi Dan Hasut – Noraini

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Wanita komponen Barisan Nasional (BN) dan muslimat PAS hari ini membuat laporan polis berkaitan kenyataan hasutan yang buat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurut Ketua Wanita BN Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad, kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Dap itu cukup membuatkan masyarakat terguris hati seolah-olah beliau ingin mengisytiharkan perang kepada UMNO dan PAS.

“Kami tidak mahu dia membuat kenyataan dengan sesuka hati… membuat kenyataan–kenyataan yang sangat provokasi. Ini bukan kali pertama… sudah banyak kali dia buat kenyataan provokasi dan berkait sensitiviti pelbagai kaum yang majmuk.

“Justeru, kami mendesak agar diadakan satu siasatan di bawah akta hasutan dan fitnah,” ujar beliau selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi.

Tambah Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO, Malaysia mempunyai masyarakat yang cukup harmoni maka jika ada hasutan, fitnah dan berbaur provokasi seperti ini ia akan menggugatkan kestabilan negara.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hasan berkata, Guan Eng sepatutnya lebih bertanggungjawab dan menyeru agar masyarakat lebih bersatu hati tetapi malangnya dia seolah-olah tiada hati negarawan dan tidak layak menduduki kerusi menteri.

“Hasutan demi hasutan yang dilakukan oleh Guan Eng boleh mencetuskan perasaan benci dan dikhuatiri akan berlaku permusuhan dalam sebuah negara yang terkenal dengan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Oleh itu, kami parti pembangkang UMNO, MCA, MIC, PAS dan Kimma telah bersepakat dan bersatu hati membuat laporan polis malah kami juga telah menggerakkan semua jentera di peringkat bahagian untuk membuat laporan polis,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.