Jangan Ada Yang Rasa Tergugat, Permuafakatan UMNO-PAS Impian Rakyat Perkukuh Ummah – Suhairi


KUALA LUMPUR, 8 Mac – Kerjasama antara UMNO dan PAS adalah impian yang ditunggu-tunggu rakyat apatah lagi sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil-alih kerajaan, mereka menjadikan pentadbiran negara kucar-kacir, kata Ketua Pemuda UMNO Bukit Mertajam, Suhairi Che Ross.

Katanya, pentadbiran kerajaan baru memperlihatkan kesejahteraan masyarakat umum yang dibina sekian lama telah diganggu-gugat bukan hanya yang melibatkan segelintir orang awam malah wujud di kalangan ahli Parlimen PH dan juga menteri kanannya.

“Sebenarnya kerjasama penyatuan ummah antara UMNO dan PAS ini telah lama ditunggu-tunggu oleh rakyat apatah lagi sebelum ini kita telah menikmati kehidupan harmoni yang dibina oleh Barisan Nasional (BN),” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Tegasnya, UMNO dan PAS adalah parti yang dominan di Malaysia dan ia menjadi dokongan kepada bangsa Melayu/Islam.

“Kerjasama antara kedua-dua parti tidak sama sekali akan menjejaskan dan meminggirkan hak bangsa lain kerana perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan akan sentiasa dipertahankan.

“Penyatuan ummah ini bukan untuk menyaingi mana-mana kaum atau ada makna tersirat selain daripada pengukuhan terhadap bangsa Melayu dan agama Islam itu sendiri yang sejak kebelakangan ini dilihat seakan diambil mudah sahaja dalam perundangan.

“Contoh penghinaan kepada Nabi adalah sesuatu yang kita tak boleh terima dan tindakan yang setimpal wajar dibuat oleh kerajaan,” katanya.

Katanya, penyatuan ummah ini adalah kesungguhan untuk kesepakatan Melayu serta kedaulatan Islam terjaga namun tidak akan lupa pada kaum-kaum yang lain sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan negara.

“Kami di peringkat Pemuda menyambut baik kerjasama di antara UMNO dan PAS bagi mewujudkan satu barisan pembangkang yang efektif yang boleh menjadi semak dan imbang (check and balance) kepada kerajaan.”

Pertemuan pemimpin-pemimpin di antara kedua-dua parti tersebut telah diadakan Selasa lalu untuk membincangkan mengenai penubuhan jawatankuasa perunding peringkat tertinggi bagi membentuk penyatuan ummah.

Namun demikian, pertemuan tersebut telah membangkitkan kebimbangan di kalangan segelintir pihak terutama parti yang menaungi kerajaan sehinggakan ada yang mendakwa bahawa UMNO-PAS mahu memerangi bukan Islam. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.