Guan Eng Jangan Jadi ‘Bapa Borek Anak Rintik’, Patut Tahu Tugas Menteri Dan Masa Berpolitik – Wanita Sabah


KOTA KINABALU, 8 Mac – Pergerakan Wanita UMNO Sabah mengecam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung kenyataannya terhadap kerjasama rasmi UMNO-PAS sebagai ‘pengisytiharan perang terhadap orang bukan Melayu dan bukan Islam’ yang kemudiannya ditukar setelah mendapat kecaman dari pelbagai pihak.

Jelas ketuanya, Datuk Jainab Ahmad, Setiausaha Agung Dap itu seharusnya tahu membezakan tugas sebagai menteri Kerajaan Persekutuan dan masa untuk berpolitik.

“Seharusnya Guan Eng menumpukan perhatian kepada menaikkan ekonomi negara yang semakin merudum, bukannya berpolitik setiap masa. Dalam keadaan hati orang Melayu/Islam terguris dengan sikap beberapa individu yang tidak bertanggungjawab menghina junjungan Nabi Muhammad SAW, Guan Eng pula menambah luka tersebut dengan kenyataan yang tidak sepatutnya.

“Kenyataan Guan Eng ini amat meresahkan rakyat negara ini. Dia kena faham, penyatuan UMNO dan PAS adalah demi kepentingan ummah tanpa mengabaikan bangsa lain… kawan-kawan lain di dalam BN dan PAS. Kita 1Malaysia.

“Di Sabah contohnya, kami sejak dulu hidup aman harmoni pelbagai kaum tanpa ada sangsi. Jadi, Guan Eng tidak perlulah menghidupkan sentimen 13 Mei… jangan jadi ‘bapak borek anak rintik’,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Jainab, sepanjang lebih 60 tahun Barisan Nasional (BN) menerajui pucuk pimpinan negara, tidak timbul isu rasis dan kerana itulah 1Malaysia diperkenalkan tetapi sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah, hormat-menghormati antara sesama bangsa semakin hilang.

“Sebab itu orang Sabah tidak terima Dap di sini kerana mereka parti rasis. Jadi, saya merayu kepada semua pihak untuk berhenti dari terus menghidupkan sentimen rasis di negara ini.

“Janganlah kerana segelintir yang ‘bermulut tempayan’ maka keharmonian negara kita tergugat. Guan Eng juga harus segera memohon maaf. Wanita Sabah juga berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera ke atas Guan Eng,” tegas beliau.

Katanya lagi, dalam masa terdekat ini, Wanita UMNO Sabah bersama MIC dan MCA akan turut membuat laporan polis dan demonstrasi aman bagi melahirkan rasa ketidakpuasan hati dengan kenyataan Guan Eng itu.

Untuk rekod, sejak Guan Eng mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya ini, warganet tanpa mengira bangsa dan agama telah membidas dan melahirkan rasa tidak puas hati terhadapnya.

Beberapa laporan polis juga telah dibuat bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Menteri Kewangan itu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.