Cadangan Pembelian Legoland Oleh Kerajaan Johor Tidak Masuk Akal – Khaled

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Cadangan Pembelian Legoland oleh Kerajaan Johor bukan sahaja dianggap sebagai cadangan yang tidak masuk akal malah dipersoalkan kemampuan Kerajaan negeri menguruskannya berbanding Khazanah Nasional.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri seharusnya mengurangkan berniaga dan fokus kepada merejuvinasi ekonomi negeri Johor melalui kerjasama dengan sektor swasta.

“Sebuah laporan terbitan Bloomberg telah menyatakan bahawa harga jualan Legoland adalah sekitar RM1 billion termasuk hutang. Jika Kerajaan Negeri Johor serius untuk meneruskan cadangannya itu maka perlu dilihat prestasi kewangannya sendiri dan pada masa yang sama bersifat telus terhadap analisa market value Legoland.

“Kemudian, apakah instrumen yang mahu digunakan kerajaan negeri untuk membeli Legoland? Mampukah Kerajaan negeri mencukupkan duit untuk membeli Legoland tanpa membebankan lagi kewangan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Khaled seterusnya menambah kerajaan negeri sepatutnya menimbangkan segenap keberangkalian yang wujud dalam mengambil keputusan untuk membeli Legoland, samada dalam sudut nilai tambah pada ekonomi, masyarakat dan sektor pekerjaan.

“Asasnya, apa sahaja yang terjadi selepas pembelian Legoland adalah terletak di atas bahu kerajaan negeri. Mereka perlu menentukan banyak lagi perkara selepas membeli Legoland.

“Mereka wajib memikirkan langkah proaktif untuk menggalakkan kewujudan pekerjaan baru, merangka model kewangan yang sesuai untuk memaksimakan untung terhadap keuntungan yang bakal diterima kerajaan negeri, dan juga mencari jalan untuk menyelesaikan hutang yang ditanggung Legoland.

“Selepas 10 bulan mentadbir Johor, tiada polisi ekonomi yang ampuh direncanakan kerajaan negeri. Mereka sepatutnya memberi fokus untuk membangunkan inisiatif ekonomi baru bagi Negeri Johor dan bukan memberi fokus kepada cubaan tidak matang, tidak produktif dan mengarut untuk membeli Legoland,” tambahnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.