UMNO Wujudkan Jabatan Pilihan Raya Dan Aktifkan Semula Sistem Keahlian Online


KUALA LUMPUR, 7 Mac – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ibu pejabat parti akan mewujudkan Jabatan Pilihan Raya dalam usaha memperkemaskan lagi perjalanan serta perancangan untuk menghadapi pilihan raya.

“Mulai daripada sekarang kita adakan jabatan khusus yang dipanggil Jabatan Pilihan Raya UMNO untuk bergerak dan membuat analisa serta apa sahaja gerakan untuk menyiapkan jentera parti di peringkat bawah.

“Dulu saya pernah katakan kita ada dua ‘core business’ iaitu memperkasakan parti dan mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya. Jadi penubuhan jabatan pilihan raya ini adalah untuk menyusun strategi menghadapi pilihan raya. Banyak perangkaan yang perlu kita kutip dan tinjauan-tinjauan yang perlu kita buat dan macam-macam lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, di sini, hari ini.

Selain daripada itu, Mohamad turut memaklumkan sistem keahlian UMNO secara online diaktifkan semula yang mana sistem berkenaan sebelum ini dihentikan sementara waktu.

“Sambutan amat menggalakkan…kita buat modifikasi sedikit sekarang ini yang mana semua yang berminat boleh menyertai menerusi online. Kita berikan masa dua bulan…kalau bahagian tidak aktifkan ianya akan terus ke Ibu Pejabat UMNO dan ianya akan diproses.

“Ini akan memudahkan sesiapa sahaja…ramai anak muda dan mereka di luar sana yang dah mula menunjukkan minat dan bertanya kepada kita bagaimana untuk menjadi ahli UMNO dan bagaimana untuk mendapatkan borang keahlian,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad turut memberitahu Majlis Tertinggi telah dimaklumkan mengenai pertemuan secara rasmi parti itu dengan Pas dan beliau akan membentangkan perkara berkenaan dalam mesyuarat Barisan Nasional (BN) esok.

“Saya bersama Datuk Seri Ismail Sabri yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan telah membentangkan tentang rundingan secara rasmi dengan parti Pas untuk kita menjalinkan kerjasama antara dua parti dalam usaha menjayakan agenda penyatuan ummah dan untuk kita memastikan kedua-dua parti berjalan atas platform yang sama. Bukannya bergabung.

“Saya nak terangkan sekali lagi agenda penyatuan ummah ini adalah agenda untuk mencari kebaikan dan tidak meminggirkan sesiapa baik bukan Islam mahu pun bukan Melayu.

“Saya akan bentangkan apa yang dibuat oleh UMNO dalam mesyuarat BN supaya ianya juga dapat diterima dikalangan rakan-rakan komponen dan jika ini dapat diterima boleh jadi juga besok bukan jadi UMNO ‘plus..plus..plus’…boleh jadi BN ‘plus…plus..plus’. Jadi kita kena buat ikut tertib dahulu,” ujarnya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.