UMNO Rakam Penghargaan Kepada Semua Pihak Bantu Parti Di PRK Cameron Highlands, Semenyih


KUALA LUMPUR, 7 Mac – Majlis Tertinggi UMNO hari ini merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat membantu gerak kerja Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan juga PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih baru-baru ini.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penghargaan berkenaan sebagai rasa terima kasih parti terhadap jentera baik dari kalangan rakan komponen serta Pas mahu pun badan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama berjuang pada kedua-dua PRK berkenaan.

Menurut beliau, semua pihak bertungkus lumus dan tidak ada sesiapa yang boleh dikatakan tidak menolong atau pun tidak bergerak sepanjang PRK tersebut dan usaha untuk meraih simpati pengundi dilakukan secara bersama oleh semua pihak.

“Kita juga ucapkan terima kasih kepada Pas yang bukan sahaja membantu bersungguh-sungguh tetapi yang pentingnya memberikan laluan dan tidak meletakkan calon mereka pada dua-dua PRK berkenaan. Sekali lagi terima kasih kepada semua pihak yang membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, di sini, hari ini.

Mohamad turut memberitahu mesyuarat pada hari ini juga turut membincangkan persiapan parti untuk menghadapi satu lagi PRK iaitu DUN Rantau.

“Alhamdulilah semalam dah diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh penamaan calon iaitu 30 April dan juga hari mengundi pada 13 April. Adalah nafas sedikit…berturut-turut kita hadapi PRK,” tambahnya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.