MCA Tempelak Guan Eng Keluar Kenyataan Berunsur Hasutan


KUALA LUMPUR, 7 Mac – Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong menempelak Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng yang membuat kenyataan menghasut dengan mengatakan kerjasama UMNO dan PAS sebagai pengisytiharan perang antara kaum.

Menurutnya, kenyataan Guan Eng tersebut langsung tidak boleh diterima dan beliau harus dipertanggungjawabkan di atas hasutan yang menjurus kepada kebencian antara kaum serta menjejaskan keharmonian negara.

“Apabila anda secara terbuka menyebut ia sebagai pengisytiharan perang maka anda sebenarnya sedang menambah api kemarahan.

“Anda juga secara tidak langsung telah menjemput pihak lawan untuk menyambut ‘pengisytiharan perang’ tersebut.

“Saya tidak dapat membayangkan implikasinya jika Guan Eng tidak menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka,” tegas Wee dalam satu kenyataan di Facebooknya, di samping percaya ramai rakyat yang akan mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat Guan Eng kerana menghasut.

Dalam masa yang sama, Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam turut sangsi bentuk tindakan yang akan dikenakan kepada Guan Eng yang berstatus menteri kabinet jika laporan polis dibuat terhadapnya.

“Sekiranya kenyataan ini keluar daripada mulut rakyat biasa, pasti mereka ditangkap oleh polis kerana menghasut.

“Tetapi sebagai seorang menteri kabinet, sudah tentu Guan Eng terlepas daripadanya,” sinisnya lagi.

Wee turut mengingatkan menteri kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu bahawa PAS dan DAP juga pernah bekerjasama sebelum ini.

“Malahan, mereka pernah sama-sama membentuk Kerajaan Selangor selama 2 penggal.

“Namun kini, PAS telah memilih rakan baharu untuk bekerjasama dalam politik.

“Bidaslah PAS dan UMNO sekiranya benar dakwaan Guan Eng itu tetapi bukanlah dengan cara mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menggunakan frasa pengisytiharan perang antara kaum,” bidasnya lagi.

Justeru, Wee menimbulkan persoalan kepada Guan Eng serta khuatir reaksi rakyat mengenai kenyataan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Apa perasaan orang bukan Melayu apabila mereka membaca kenyataan anda?

“Apa pula tindakan orang Melayu apabila mereka membaca kenyataan pengisytiharan perang anda itu?

“Jadilah seorang ahli politik yang bertanggungjawab,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.