Khazanah Rugi Akibat PH Dan Menteri-Menteri Yang Hancur – Isham


KUALA LUMPUR, 7 Mac – Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil menyimpulkan kerugian Khazanah sebanyak RM6.3 billion akibat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menteri-menterinya yang hancur sehinggakan rakyat semakin susah dan tertekan kerana mereka.

Tegasnya, apabila Menteri Ekonomi atau Menteri Kewangan PH cuba menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu pula berkenaan hal ini, ia langsung tidak masuk akal dan umpama menganggap rakyat mudah diperbodohkan.

“Mereka sebenarnya menembak kaki sendiri. Kerugian ini adalah salah pentadbiran Kerajaan PH sendiri dan dasar-dasar mereka. Mereka tidak boleh lagi salahkan orang lain.

“Semasa pentadbiran Kerajaan BN dahulu, Khazanah tidak pernah rugi sebegini walaupun semasa krisis ekonomi ‘sub-prime’ pada tahun 2008 di mana syarikat pelaburan utama kerajaan negara jiran iaitu Singapura, Temasek rugi beratus juta dollar.

“Khazanah mencatatkan keuntungan dan peningkatan nilai aset sebanyak berbillion ringgit semasa pentadbiran BN namun sebaliknya berlaku dalam tempoh hanya 10 bulan sahaja PH memerintah,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi Facebooknya.

Jelasnya, apabila Khazanah dan syarikat-syarikat ini rugi, maka ramai lagi rakyat dijangka akan dibuang kerja.

“… dan Kerajaan PH akan menjadikan kerugian ini sebagai alasan untuk menjual lagi aset-aset kerajaan. Kedua-dua kesan di atas akan menekan lagi rakyat dan merugikan negara.

“Kita perlu berbuat sesuatu,” katanya lagi.

Berdasakan latarbelakangnya dalam bidang pelaburan dan kewangan, dan pernah bekerja dalam bidang tersebut selain dan mempunya Sarjana Kewangan dari Wharton (sekolah kewangan tertua di dunia), Isham menerangkan secara ringkas sebab-sebab kerugian Khazanah dengan bahasa yang mudah difahami ramai seperti berikut:

• Khazanah rugi sebab aset-asetnya jatuh nilai sebab pasaran saham yang tidak memberangsangkan.

• Pasaran saham tidak memberangsangkan sebab keadaan ekonomi negara yang merudum.

• Ekonomi negara merudum antara sebab utamanya ialah pelabur lari akibat ketidakcekapan pentadbiran Kerajaan PH dan dasar-dasar mereka yang meranapkan ekonomi negara serta kesan tindakan-tindakan mereka seperti berikut:

• Sebagai contoh, dasar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kejatuhan eksport akibat hubungan tidak baik dengan negara-negara pengimport hasil Malaysia, kehilangan pekerjaan rakyat, kos sara hidup rakyat meningkat, kejatuhan pasaran kepenggunaan domestik i.e. rakyat tidak berbelanja, ketidakstabilan politik kerajaan PH, halatuju ekonomi yang malap, etc. etc.

• Aset-aset Khazanah dalam pelaburan-pelaburan mereka dan juga dalam syarikat-syarikat berkenaan kerajaan (GLC) termasuk yang disenaraikan seperti TM, TNB dan sebagainya telah jatuh nilai dan harga akibat sebab-sebab di atas.

• Apabila aset-aset ini dinilai secara nilai pasaran terkini atau ‘mark-to-market’ kepada nilai semasa atau harga pasaran semasa di bursa saham, maka nilainya jatuh dan terpaksa direkod sebagai kerugian.

• Kerugian ini mencecah berbilion ringgit. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.