Jangan Bermentaliti ‘Divide and Rule’… Semarakkan Keharmonian Negara Bukan Cetus Ketegangan – Pemuda MIC

 

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Pemuda MIC membidas Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng yang bermentaliti ‘Divide and Rule’, bidas Pemuda MIC.

Ketuanya, Thinalan T Rajagopalu berkata pegangan asas menteri kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu ternyata mampu membawa ketegangan dalam kalangan rakyat di negara kini dengan meracuni pemikiran masyarakat menerusi kenyataannya semalam.

Justeru ujar Thinalan, sebagai seorang menteri kabinet Guan Eng seharusnya bersikap menyemarakkan semangat cintakan negara bukan menjadi pencetus kepada ketegangan kaum.

“Sebagai seorang Menteri, beliau seharusnya merancang dan memupuk tindakan penyatuan serta menyemarakkan sifat cinta kepada negara.

“Tetapi sebaliknya beliau hanya mementingkan profesion kerjaya politik sehingga mencetuskan ketegangan pemahaman dan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kerjasama antara UMNO dan PAS harus dipuji kerana rakyat dapat bersatu-padu dari segi aspek penyatuan ummah dan satu tindakan yang harus dialu-alukan supaya semua berada di bawah naungan Barisan Nasional (BN),” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Thinalan memberi reaksi demikian mengulas kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan PAS sebagai ‘pengisytiharan perang’ kepada bukan Melayu, sebagaimana dilaporkan dalam sebuah portal online.

Justeru tambahnya lagi, Pemuda MIC Kebangsaan memandang serius terhadap kenyataan Guan Eng tersebut yang jelas berbaur hasutan di kalangan rakyat Malaysia, berbilang kaum yang hidup aman damai selama ini walaupun berbeza pemahaman politik.

“Pemuda MIC Kebangsaan menentang sekeras-kerasnya tindakan beliau dan meminta pihak pentadbiran tertinggi negara mengambil tindakan yang keras terhadap beliau.

“Jelas menunjukkan beliau tidak memahami ideologi Rukun Negara bahawa peranan kerajaan dalam perpaduan negara dan integrasi nasional demi penyatuan etnik rakyat Malaysia dan bukannya menindas dan meminggirkan mana-mana agama mahupun kaum di negara ini.

“Dengan ini, Pemuda MIC Kebangsaan mendesak agar pihak berkuasa terutamanya Polis DiRaja Malaysia dan Peguam Negara segera mengambil tindakan drastik terhadap Lim Guan Eng di bawah Akta Hasutan Negara,” tegasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.