Ismail Sabri Dilantik Ketua Pembangkang Di Parlimen

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai ketua pembangkang di Parlimen menggantikan tugas yang digalas oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, umum Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Selaras dengan itu, beliau memaklumkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid akan mengetuai Whip Parlimen yang baru, iaitu tugas yang sebelumnya disandang oleh Ismail Sabri.

“UMNO dan Ahli-ahli MT Barisan Nasional (BN) telah bersetuju bahawa kita melantik ketua pembangkang yang baru, Datuk Seri Ismail Sabri, berdasarkan kepada senioriti dan disebabkan itu, jawatan sebagai Ketua Whip diserahkan kepada Datuk Seri Mahdzir Khalid,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Jelasnya, pelantikan tersebut telah dibincangkan dan turut dipersetujui oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid.

Persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua, Majlis Parlimen Ke-14 akan bermula pada 11 Mac (Isnin) ini dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan merasmikan istiadat pembukaan.

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua yang akan berlangsung selama 20 hari iaitu bermula 11 Mac sehingga 11 April ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.