Guan Eng Hentikan Sikap Kiasu, Cauvinis Dan Hasutan Perkauman – Dr. Shamsul


KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah menempelak Menteri Kewangan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berterusan menunjukkan sikap kiasu dan cauvinisnya.

Malah bidas Dr. Shamsul, Setiausaha Agung Dap itu juga suka membuat kenyataan berbau hasutan.

“Sebagai menteri kanan, Guan Eng sepatutnya berfikiran terbuka, positif dan bukan bertindak kiasu, malahan kenyataan beliau adalah bukti jelas, beliau seorang cauvinis dan suka membuat kenyataan berbau hasutan.

“Tidak sekalipun kepimpinan UMNO PAS menyatakan kerjasama antara kedua-dua parti tersebut bertujuan mengancam kaum lain atau bersifat perkauman.

“Ini kerana telah jelas diterangkan bahawa kerjasama UMNO PAS untuk perpaduan ummah tanpa mengenepikan kaum-kaum lain,” tegas Dr. Shamsul dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr. Shamsul memberi reaksi demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Lim Guang Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan PAS sebagai ‘perisytiharan perang’ kepada bukan Melayu, sebagaimana dilaporkan dalam sebuah portal online.

Tambah Dr. Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong, pendirian politik UMNO PAS kini tidak salah dalam amalan demokrasi serta perlembagaan di negara ini.

“Kerjasama UMNO PAS dengan jelas dinyatakan akan menjaga serta menghormati agama dan kaum lain. Sebaliknya hanya Guan Eng yang mencipta fiksyen, sinetron dan sandiwara beliau sendiri.

“Ini jelas menunjukan Guan Eng seorang yang berfikiran dangkal. Justeru, kita ingin bertanya, siapa yang rasis dan anti-Islam sebenarnya? Bukankah Guan Eng, tanpa secara sedar, telah menunjukkan wajah sebenar beliau dan Dap?,” soal Dr. Shamsul lagi.

Tegas Dr. Shamsul juga, kenyataan tidak bertanggungjawab Guan Eng itu boleh mewujudkan suasana tidak baik antara kaum di negara ini.

“Walau kenyataannya diubah suai ia tetap tidak mengubah sikapnya.

“Apa yang dinyatakan itu juga membuktikan Guan Eng dihantui bayang-bayang sendiri dan jelas menunjukkan beliau sebenarnya mempunyai sikap yang tidak sesuai sebagai seorang pemimpin kerajaan,” bidasnya.

Justeru, Dr. Shamsul mendesak Guan Eng menghentikan episod wayang yang beliau mainkan dan sebagai menteri kabinet, Guan Eng perlu fokus kepada portfolio yang dipertanggungjawabkan kepadanya terutamanya menyelesaikan kemelut ekonomi yang melanda negara kini.

“Rakyat mahu jawapan segera apa tindakan Kerajaan PH menyelesaikan isu kemelut ekonomi negara dan kos sara hidup, bukan kenyataan wayang yang tujuannya sekadar mahu mengalihkan isu.

“Apa yang jelas Guan Eng masih gagal mengendalikan ekonomi negara dengan baik,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.