Siapa Samak Siapa… UMNO/PAS Atau PH? Soal Puad


KUALA LUMPUR, 6 Mac – Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata tidak timbul isu UMNO dan PAS perlu disamak sebagaimana sindiran Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.

Bidasnya, yang sedang disamak kini adalah Pakatan Harapan (PH).

“Yang sedang disamak ialah PH. Disamak oleh rakyat. Banyak sangat pembohongan dan penipuan.

“Dap sudah disamak oleh rakyat di Cameron Highlands. Terbaru PPBM pula disamak oleh rakyat di Semenyih. Kini giliran PKR pula untuk disamak oleh rakyat Rantau.

“Semoga proses penyamakan PH ini berterusan hingga ke PRU (Pilihan Raya Umum) ke-15,” ujar Puad dalam entri terbaharu di Facebooknya.

Puad berkata demikian ketika mengulas mengenai ‘posting’ terbaru A Kadir Jasin di blognya, yang menyatakan “Apakah maslahat (muslihat) yang akan mereka (UMNO-PAS) guna untuk menghalalkan gabungan mereka dan menyamak najis yang mereka campakkan ke arah satu sama lain selama ini?”.

Justeru Puad berpendapat bahasa dan analogi Kadir Jasin itu amat janggal dengan politik Malaysia Baru yang diamalkan oleh PH.

“Perkahwinan politik adalah perkahwinan politik. Tidak timbul soal hukum-hakam apatah lagi samak-menyamak. Rakyat tidak lagi mahu mendengar cerita basi.

“Hatta PPBM juga sedang berkawan dengan Dap. Tun pernah kata, Dap anti-Melayu dan anti-Islam, maka perlukah Dap disamak?

“Apatah lagi PAS dan Dap pernah bekerjasama sebelum ini. Bahkan PAS juga pernah menyertai BN pada tahun 1974, maka apa nak dihairankan kalau UMNO dan PAS berkawan semula,” tegasnya lagi.

Maka tambahnya lagi, timbul persoalan berjayakah PH dan tali barutnya seperti Kadir Jasin memecah-belahkan kerjasama UMNO-PAS yang berjaya ‘melahirkan dua anak’ iaitu Cameron Highland dan Semenyih.

“Tuduhlah apa sahaja seperti kerjasama UMNO-PAS sebagai perkauman agama. Ia tidak akan membawa kesan kerana isu utama rakyat sekarang ini ialah kos sara hidup, ekonomi yang merudum, janji yang tidak ditunaikan, pentadbiran yang lemah dan terlalu banyak ‘U-Turn’.

“Sebab itu fitnah mengenai RM90 Juta dan RM1.4 Juta untuk memecahkan UMNO-PAS menjadi senjata makan tuan. Siapa Ramli Musa yang membayar RM1.4 Juta kepada Rewcastle Brown dari Sarawak Report? Bukankah dia kawan baik Anwar dalam ABIM dulu. Menurut Ezam Mohd Nor, Ramli banyak membantu Reformasi dan keluarga Anwar semasa dia di penjara.

“Kini dia dilantik Pengerusi KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad). Kalau benar dia bayar wang itu untuk PAS, sudah tentu dia akan dipecat segera sebagai Pengerusi KTMB. Maka kenapa Anwar mendedahkannya? Apakah Ramli Musa belot dan menyokong Tun M. Apakah wang itu dibayar sebagai upah kepada Sarawak Report kerana memfitnah Najib dan UMNO?,” soalnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.