Nazri Beri Ruang Pimpinan Tertinggi BN Buat Keputusan, Sokong Kerjasama UMNO Dan PAS

 

KUALA LUMPUR 6 Mac – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata beliau tidak akan hadir Mesyuarat Dewan Tertinggi parti itu, Jumaat ini bagi memberi ruang kepada pemimpin tertinggi parti untuk perbincangan mengenai parti tersebut.

Pada masa yang sama beliau turut menegaskan langkah itu juga bagi memberi ruang kepada pimpinan parti membincangkan mengenai kedudukannya sebagai Setiausaha Agung BN.

“Jika cara ini boleh menyelesaikan masalah antara parti komponen dalam BN, saya akur.

“Saya akan bagi peluang sepenuhnya kepada mereka untuk bincang tentang isu-isu parti termasuk hasil kerjasama UMNO dengan Pas serta isu yang melibatkan kedudukan dan jawatan saya. Mereka perlu diberi peluang berkenaan, tidak boleh tergantung isu ini terlalu lama… Kita harus bergerak ke depan,” katanya pada sidang medianya di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan MCA dan MIC menggesa BN bermesyuarat untuk membincangkan masa depan gabungan itu dan mereka tidak akan hadir jika ia disertai Setiausaha Agung BN, Nazri Aziz.

Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S. A Vigneswaran berkata kesahihan mesyuarat tersebut, yang dijadualkan Jumaat ini, akan dipertikaikan kerana pelantikan Nazri ke jawatan tersebut tidak ikut perlembagaan BN.

“Demi mengelakkan sebarang pertikaian dari segi undang-undang, MCA dan MIC hanya akan menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sah,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Dalam perkembangan lain, Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerjasama antara UMNO dan Pas.

“Saya menyokong penuh usaha untuk UMNO dan Pas bekerjasama dalam semua bidang bukan hanya setakat untuk PRK tetapi saya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan iaitu sehingga PRU-15 kerjasama ini akan berterusan.

“Saya mahu meminta maaf kepada seluruh umat Islam dan Melayu di negara ini sama ada mereka ahli atau penyokong Pas kerana pernah tidak menyokong kerjasama antara UMNO dan Pas suatu ketika dahulu. Saya akui perkara itu merupakan kesilapan politik saya sendiri dan hari ini saya benar-benar mahu lihat kerjasama antara dua parti ini boleh diteruskan,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.