Kerjasama UMNO-PAS Inklusif Bagi Semua, Satu Sejarah Demi Perjuangan Agama Bangsa Dan Tanah Air


KUALA LUMPUR, 6 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan bahawa kerjasama rasmi UMNO dan PAS adalah gagasan penyatuan ummah yang bukan inklusif kepada dua parti ini sahaja tetapi turut membawa rakan gabungan lain.

Katanya, kesepakatan ini tidak terhad kepada parti politik kerana ia adalah satu gagasan Nasional yang inklusif bagi semua rakyat Malaysia.

“Kita ditanya apakah nanti MCA dan MIC akan dibawa bersama? Sudah pun dijawab bahawa kedua-dua parti akan membawanya kepada rakan gabungan masing-masing, ertinya Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) dan kelab penyokong seperti Makkal Sakti, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) tidak sama sekali ditinggalkan.

“Ini untuk mereka yang mahukan satu ‘order’ baru dan ‘deal’ baru politik untuk membawa Malaysia keluar dari politik kepalsuan dan kerosakan yang dibawa Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP,” katanya menerusi Facebooknya di sini, hari ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh, UMNO dan PAS bersedia melakukan ‘engagement’ yang intensif dan ekstensif bersama badan politik dan NGO dalam negara.

“Kita merasakan, konsultasi dengan pelbagai kelompok kaum dan agama perlu diadakan apabila kerangka dan dasar utama dapat diperincikan.

“UMNO dan PAS mahu memandang ke hadapan dengan sikap politik matang dalam konteks sebuah masyarakat majmuk negara kita.

“Sebagai blok terbesar parti politik di Semenanjung, UMNO dan PAS akan mengambil kira keperluan dan sensitiviti rakan-rakan parti politik Sabah dan Sarawak, khususnya dalam konteks memperjuangkan kepentingan ‘native’ dan bumiputera Sabah dan Sarawak.”

Katanya, UMNO dan PAS terpanggil untuk berkerjasama atas perkara kebaikan demi kesatuan ummah, untuk agama, bangsa dan negara. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.