Dakwa UMNO-Pas ‘Isyarat Perang’, Pemuda UMNO Gesa Guan Eng Didakwa Di Bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa kerjasama UMNO-PAS sebagai satu ‘isyarat perang’ terhadap orang Bukan Islam dan Bukan Melayu di Malaysia.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kenyataan dangkal ini amat merbahaya kerana boleh mencetuskan suasana tegang antara kaum dan mampu merangsang perlakuan tidak wajar di kalangan rakyat Malaysia berbilang agama dan kaum.

Sedangkan tegas beliau kerjasama antara UMNO dan PAS sebagaimana yang ditegaskan oleh kedua-dua kepimpinan tertinggi parti hanyalah menjurus kepada aspek penyatuan ummah yang tidak sesekali meminggirkan mahupun meremehkan mana-mana agama mahupun kaum di negara ini.

“Sesungguhnya kenyataan Lim Guan Eng ini hanya menyerlahkan lagi wajah sebenar pemimpin dan parti DAP yang sememangnya sejak dahulu lagi lebih cenderung kepada sifat rasis dan chauvinis.

“Malah kenyataan seperti ini jika tidak dikekang mampu mencetuskan pergolakan antara agama dan kaum sebagaimana pernah berlaku dalam Tragedi 13 Mei 1969”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Justeru tegas beliau lagi Pemuda UMNO mendesak agar pihak berkuasa terutamanya Polis DiRaja Malaysia dan Peguam Negara untuk segera bertindak dengan mendakwa Lim Guan Eng di bawah Akta Hasutan kerana mampu mencetuskan suasana tegang yang mengundang ketidak-harmonian rakyat berbilang agama dan kaum di negara ini. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.