Tidak Timbul Soal Logo Baru… Ini Bukan Soal Penyatuan Tapi Kerjasama UMNO Dan Pas – Mohamad

 

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tidak timbul soal logo atau simbol baru kerana mesyuarat antara UMNO dan Pas hari ini bukan soal penyatuan tetapi kerjasama antara dua parti termasuk rakan dalam parti masing-masing.

“Ini bukan penyatuan parti tapi kerjasama antara dua parti dan rakan dalam parti masing-masing di atas asas kebersamaan,  atas isu-isu yang mempunyai  asas kepada setiap parti.

“…. dan kita tidak akan ada simbol baruUMNO Pas kerana ini bukan penyatuan antara dua parti.  Ini adalah kerjasama dua parti untuk kita menterjemahkan penyatuan ummah untuk kebaikan negara yang berbilang kaum”, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas UMNO dan Pas di sini, hari ini.

Mesyuarat tersebut dihadiri pemimpin tertinggi masing-masing di mana di pihak UMNO yang turut serta adalah Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa, Naib-naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Khaled Nordin, Ketua Penerangan, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi dan Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad.

Manakala Pas pula dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Presiden, Ustaz Haji Idris Ahmad, Ketua Ulamak, Dattuk Dr Hj Mahfodz Mohamad, Ketua Pemuda, Ustaz Mohammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Muslimat, Ustazah Hajah Nuridah dan Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki.

Dalam sidang media itu juga, Mohamad menegaskan kerjasama UMNO dan Pas tidak akan meminggirkan mana-mana pihak sebaliknya untuk menyatukan ummah tanpa meminggirkan keseluruhan masyarakat termasuk kaum Cina dan India.

Beliau turut menjelaskan UMNO dan Pas juga bersikap terbuka kepada apa saja yang dianggap baik untuk Melayu dan Islam.

Pada sidang media yang sama juga Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata secara keseluruhannya keputusan yang dicapai hari ini adalah keputusan bersama.

Maknanya jelas beliau Pas dan UMNO bersetuju  di mana setiap parti menghormati setiap dasar dan polisi parti masing-masing.

“Kita mencari titik-titik persamaan khususnya dalam soal penyatuan ummah di Malaysia ini”, ujarnya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.