Khazanah Rugi Besar: Terbukti PH Ketandusan Pelan Konkrit, Hala Tuju Ekonomi Negara – Khairy


KUALA LUMPUR, 5 Mac – Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sehingga kini masih belum lagi menunjukkan apa-apa pelan konkrit dalam membawa ekonomi Malaysia.

Katanya, apa yang kedengaran berulangkali adalah idea-idea yang langsung tiada hala tuju ekonomi negara yang jelas.

“Yang kita dengar berulangkali adalah hasilkan kereta terbang yang sekejap bukan untuk dijual sekejap untuk pertanian. Yang kita dengar kerajaan nak menganjurkan semula perlumbaan F1. Tiada langsung halatuju ekonomi yang jelas.

“Rakyat Malaysia masih belum lupa bagaimana Azmin Ali sebelum ini mencanang seantero dunia tentang kegagalan pelaburan kecil Khazanah dalam syarikat baju dalam wanita berjumlah RM80 juta.

“Nah, kerugian Khazanah pada tahun lalu adalah 7,775% lebih tinggi daripada kerugian RM80 juta tersebut,” ulas Khairy di Facebooknya, mengenai kerugian yang dialami oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), syarikat pelaburan kerajaan sebanyak RM6.3 bilion untuk tahun 2018.

Tambah Khairy lagi, itu adalah kerugian pertama yang dicatatkan oleh Khazanah untuk tempoh sepuluh tahun dan berbeza pada tahun 2017, Khazanah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.9 bilion.

Khairy juga menjelaskan terdapat beberapa faktor yang menjadikan Khazanah mengalami perkara sedemikian.

“Perkara ini bukanlah mengejutkan kerana sepanjang tahun 2018, saham-saham syarikat utama milik Khazanah menyaksikan kemerosotan yang sangat ketara yang akhirnya memberikan pulangan dividen negatif kepada Khazanah.

“Sebagai contoh, Saham TM dari RM5.00 sebelum PRU (Pilihan Raya Umum) jatuh kepada RM3.09 semalam, pernah jatuh ke tahap RM2.15 pada 26 Oktober 2018. Saham CIMB pernah jatuh dari RM6.90 sebelum PRU-14 kepada RM5.30 selepas PRU-14.

“Saham Axiata juga pernah jatuh dari RM5.49 kepada RM3.25. Dengan kata lain, hampir semua portfolio utama pelaburan Khazanah tidak memberi apa-apa pulangan positif,” ujarnya.

Walaupun berlaku kenaikan harga saham selepas beberapa bulan, kata Khary lagi, hakikatnya keadaan sekarang masih lagi buruk berbanding sebelum PRU-14.

“Ditambah dengan pelbagai keputusan ‘flip-flop’ dan ‘u-turn’ kerajaan PH yang akhirnya menyebabkan ketidaktentuan sentimen pelabur memberi kesan kepada Khazanah.

“Untuk rekod, sepanjang 10 tahun yang lalu, Khazanah telah berjaya meningkatkan jumlah aset daripada RM34 bilion kepada lebih RM115.6 bilion.

“Namun individu-individu penting yang membawa kejayaan kepada Khazanah yang diketuai oleh Tan Sri Azman Mokhtar telah ditukar kepada kepimpinan baru pasca PRU-14,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.