Kerjasama UMNO-PAS: Orang Melayu Dan Umat Islam Bakal Lakar Sejarah Baharu Politik Tanah Air – JMM


KUALA LUMPUR, 5 Mac – Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berpandangan pertemuan rasmi antara UMNO dan PAS bagi membentuk jawatankuasa peringkat tertinggi antara kedua-dua parti tersebut bakal melakar sejarah yang sangat bermakna kepada orang Melayu dan Islam di negara ini.

Presidennya, Datuk Azwanddin Hamzah yakin ramai umat Islam dan Melayu akan terus memberikan sokongan kepada usaha tersebut.

“Manakala ramai di antara NGO-NGO Melayu dan Islam juga merasakan sudah sampai masanya kedua-dua pihak menolak segala ego dan semangat kepartian yang melampau tetapi harus memberikan penumpuan kepada nasib Melayu dan juga kuasa Melayu dikembalikan di Tanah Melayu ini.

“Saya doakan segala usaha yang ditunjukan oleh kedua-dua pemimpin dari kedua-dua parti besar Melayu dan Islam dalam negara ini akan berjaya.

“Semangat jujur dan amanah dari kedua-dua pihak parti ini adalah kunci kepada kejayaan kepada penyatuan bangsa Melayu dan Islam kerana kita adalah kumpulan majoriti dalam negara. Harapan saya juga umat Melayu Islam perlu memberikan sokongan yang padu kepada kedua-dua pemimpin parti ini,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bahawa UMNO dan PAS masing-masing telah menyatakan kesepakatan mahu membentuk sebuah jawatankuasa perunding peringkat tertinggi bagi memulakan langkah lebih konkrit menyusun pelan strategik, ‘roadmap’ kerjasama serta tindakan susulan menjayakan agenda ‘ta’awun’ kedua-dua parti.

Kata Annuar lagi, UMNO akan dianggotai 11 barisan kepimpinan yang diketuai oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan begitu juga PAS, diketuai Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut dianggotai 11 orang wakil.

Perkara tersebut kemudiannya disahkan oleh Mohamad, juga yang menjalankan tugas-tugas presiden parti di dalam satu sidang media ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang menyatakan akan ada satu rundingan peringkat pusat antara UMNO dan PAS bagi menjalinkan kerjasama secara formal.

Jelas Azwanddin lagi, usaha tersebut bukanlah satu perkara yang mudah kerana memerlukan kesepakatan yang jitu dan usaha yang berterusan dari kedua dua pihak.

“Usaha ini akan banyak dihalang dari pelbagai pihak dan akan ada pelbagai serangan dan tomahan yang akan diterima kerana terdapat juga kumpulan yang tidak senang jika Melayu dan Islam ini bersatu.

“Ada juga kumpulan yang akan mendapatkan keuntungan jika Melayu itu berpecah, seperti saya selalu katakan ia mudah jika kita berlawan dengan pihak bangsa Dap tetapi ia menjadi sukar jika kita terpaksa melawan bangsa kita sendiri kerana mereka lebih melihat kepada kepentingan peribadi semata-mata namun itu adalah cabaran yang kita akan hadapi bersama,” pesannya lagi.

Justeru, Azwanddin menyeru kepada seluruh umat Islam dan Melayu dalam dan di luar negara sama-sama mendoakan agar usaha kedua-dua pihak, UMNO dan PAS itu akan berjaya dan akan melakar sejarah baharu.

“Tidak juga dilupakan kepada semua umat Islam dan Melayu, kita juga penyumbang kepada sejarah moden ini untuk satukan umat Islam dan Melayu dalam negara,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.