Kemenangan BN Di PRK Semenyih Bukti Rakyat Serik Ditipu Oleh Pakatan Harapan


KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kempen selama 14 hari di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN), Semenyih telah menyerlahkan sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menambah koleksi janji-janji mereka.

Namun begitu, rakyat Semenyih memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) sebagai bukti bahawa ia adalah suatu manifestasi suara pengundi yang inginkan perubahan setelah serik ditipu.

Demikian kata, Ketua Pemuda UMNO Hulu Langat, Mohamad Syahir Mohd Yusof yang mengulas berkaitan pasca PRK DUN Semenyih yang telah berlangsung pada 2 Mac lalu.

“Pengundi-pengundi di Semenyih khususnya golongan muda telah sedar dan hilang kepercayaan terhadap pentadbiran PH yang terus membuat janji baru sedangkan janji yang lama pun gagal ditunaikan.”

Dalam PRK yang lalu, calon PH, Muhammad Aiman Zainali pada mulanya menjanjikan pembinaan hospital untuk penduduk Semenyih sebelum kemudiannya dinafikan oleh Menteri Kesihatan yang memaklumkan hanya membina klinik kesihatan.

Aiman turut berjanji jika PH menang PRK DUN Semenyih pada 2 Mac, keesokannya juga masalah penduduk akan cuba diselesaikan berkaitan aduan dan keluhan tentang jalan raya sempit dan berlubang; lampu jalan yang tidak bernyala, sampah sarap serta pendatang asing yang tentunya agak ‘mustahil’ untuk direalitikan.

“Dalam PRU dulu segala bentuk janji telah ditaburkan oleh PH namun tiada peningkatan urus tadbir yang baik semenjak memerintah, dan PRK ini mereka membuat pula janji baru,” katanya kepada UMNO-Online.

Dalam masa yang sama, beliau percaya kemenangan BN juga disumbangkan oleh kerjasama mantap antara UMNO dan PAS.

“Formula penyatuan ummah harus diperkasakan dan ia mampu menjadi senjata utama UMNO dan PAS untuk terus mencapai kemenangan dan menolak kerakusan PH.”

Tegasnya, nilai kepemimpinan kedua-dua parti yang bersifat terbuka dan ikhlas untuk merintis jalan perpaduan dan pengukuhan politik parti Melayu membuatkan para pengundi juga menyokong calon BN.

“Selepas ini kita akan berhadapan PRK Rantau maka saya mengharapkan pengundi-pengundi Rantau turut membuka mata dan memberi isyarat yang jelas kepada PH yang ditunjangi Dap agar tidak terus membohongi rakyat,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.