Dulu RM116 Bilion, Sekarang Tinggal RM91 Bilion… Banyak Lagi Aset Khazanah PH Boleh Jual, Sinis Najib


KUALA LUMPUR, 5 Mac – Bekas Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Razak kecewa melihat aset Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) merudum sebanyak RM25 bilion pada akhir 2018.

Katanya dalam hantaran di Facebooknya, ia merupakan penurunan sebanyak 21.6 peratus nilai aset Khazanah berbanding tahun sebelumnya, RM116 bilion.

Tambah menggusarkan Najib, Khazanah merekodkan kerugian RM6.3 bilion untuk tahun 2018 berbanding untung RM2.896 bilion tahun sebelumnya di bawah Barisan Nasional (BN) dan ketika beliau menjadi pengerusi syarikat tersebut.

“Dalam tempoh sepuluh tahun saya menjadi PM dan pengerusi syarikat itu, Khazanah tidak pernah rugi. Nilai asetnya juga tidak pernah turun dan naik setiap tahun semasa saya PM.

“Dalam tempoh sepuluh tahun ini, nilai bersih aset (net value) Khazanah telah naik RM82.3 bilion (244%) dari RM33.7 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM116 bilion pada akhir 2017.

“Setelah PH ambil alih, nilai Khazanah terus jatuh RM25 bilion menjadi RM91 bilion,” bidasnya.

Pagi tadi, media arus perdana melaporkan syarikat pelaburan miilik kerajaan tersebut mengalami kerugian pada tahun 2018 selain penurunan nilai aset sebagaimana yang dibentangkan oleh Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Najib turut menyindir kerajaan PH agar boleh lagi menjual aset Khazanah berbekalkan aset RM91 tersebut.

“Tak apalah, RM91 bilion itu masih banyak. Banyak lagi aset Khazanah boleh jual.

“Jual lagi semasa harga murah,” sinisnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.