Tetapkan Harga Mampu Beli, Bukan Kurangkan Kuota Bumiputera


KUALA LUMPUR 4 Mac – Kerajaan Negeri Johor tidak sepatutnya tunduk dengan sebarang desakan untuk mengurangkan kuota bumiputera bagi lot industri di negeri itu.
Sebaliknya, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan memberitahu, mereka seharusnya menggesa pemaju menetapkan harga jualan mampu beli sebelum meluluskan sebarang projek pembangunan.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor membuat keputusan untuk mengurangkan kuota bumiputera bagi lot industri daripada 40 peratus kepada 30 peratus atas alasan kuota 40 peratus tidak mampu terjual kepada kaum bumiputera.

“Objektif utama pengenalan kuota bumiputera ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan adalah untuk menambah pemilikan hartanah dalam kalangan bumiputera.

“Persoalan besar sehingga menyebabkan kesukaran menjual lot kepada kaum bumiputera ini adalah kerana harga hartanah yang terlalu tinggi ditetapkan oleh pihak pemaju dalam sesuatu projek,” katanya dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Tambahnya, tindakan kerajaan negeri itu hanyalah untuk membantu pemaju menjual unit tidak terjual dan menjadi persoalan adakah kerajaan negeri sedang menjaga rakyat atau sebaliknya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse memberitahu 10 peratus kuota bumiputera bagi lot industri akan dikurangkan.

Ini kerana pemaju projek perindustrian menyuarakan kebimbangan terhadap lot tanah yang tidak terjual dan mereka meminta bantuan daripada kerajaan negeri. – UTUSAN ONLINE