Luahan Komponen BN Tidak Akan Diketepikan, Perlu Bersama Cari Penyelesaian


KUALA LUMPUR, 4 Mac – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengambil maklum tentang luahan serta rasa tidak puas hati yang dizahirkan oleh pemimpin tertinggi parti komponen iaitu MIC dan MCA dalam kenyataan bersama mereka hari ini.

Katanya, sudah pasti beliau tidak akan mengetepikan begitu sahaja penzahiran rasa tidak puas hati tersebut.

“Malah, saya percaya wujud keperluan untuk BN memberi perhatian yang sewajarnya kepada perkara ini dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya dalam kenyataan sebagai maklumbalas.

Walau bagaimanapun, beliau ingin sekali menjelas dan mempertegas beberapa perkara.

Pertama, hubungan dan kerjasama semua parti komponen yang membentuk BN tidak terbentuk sehari dua. Sudah pelbagai rintangan serta cabaran yang diharungi bersama sejak sebelum kemerdekaan.

“Malah, sudah terlalu banyak kejayaan yang dikecapi hasil persefahaman serta permuafakatan yang penuh rasa hormat ini.

“Saya berani katakan bahawa ahli-ahli dan para pemimpin parti-parti komponen sudah mengenali hati budi masing-masing.”

Oleh yang demikian, katanya, adalah sangat kritikal untuk semua pihak tidak bertindak melulu atau bersifat pukul rata, khususnya dengan terus mengambil kenyataan seorang dua pemimpin dari mana-mana parti komponen yang tidak pun mewakili pendirian BN sebagai perkara pokok dalam menilai semula status serta masa depan BN.

“Kerjasama, persefahaman dan persaudaraan yang sudah lama terjalin ini menjangkaui kenyataan dan ulasan segelintir kecil pemimpin tertentu dan adalah sangat merugikan jika kita semua memilih untuk menjadi tidak adil melihat kelemahan kecil ini sebagai alasan menafikan kelebihan besar yang telah dibangunkan secara telus selama ini.”

Kedua, beliau percaya BN sentiasa memberikan perhatian dan komitmen dalam menghormati dan mengiktiraf peranan serta perjuangan setiap parti-parti komponennya.

“Malah, BN juga sentiasa berusaha untuk bersama-sama mengukuhkan setiap parti komponen di bawah BN.

“Adalah sangat tidak tepat jika kedudukan setiap parti komponen dalam BN sudah tidak dianggap penting dan mustahak.”

Ketiga, katanya, satu mesyuarat Jawatan Kuasa Tertinggi BN akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincang perkara ini.

“Pihak BN akan memaklumkan butir-butirnya dalam sedikit masa lagi.

“Akhir sekali, saya berharap isu ini tidak dipolitikkan secara tidak bertanggungjawab oleh mana-mana pihak.

“Sebaliknya, saya menyerukan semua pihak untuk bersama-sama duduk berbincang bagi memeta jalan hadapan yang lebih baik kepada BN dan negara Malaysia.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.