Kerjasama UMNO PAS: Demi Kebaikan Rakyat Keseluruhannya


KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kerjasama UMNO dan PAS adalah amat diperlukan dalam situasi politik semasa negara sekarang, ujar Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.

Jelasnya, ia bukan sahaja menguntungkan dua parti politik orang Islam Melayu terbesar di negara ini, tetapi ia juga akan menguntungkan seluruh rakyat Malaysia.

“Kita pernah bersama-sama pada 1969 kemudian berpisah, ibarat pasangan bercerai yang rujuk kembali, demi anak-anak dan masa depan.

“Kali ini insha-Allah UMNO dan PAS akan bersatu kembali demi agama, demi orang-orang Melayu dan keharmonian negara.

“Segala perbalahan sengketa lama dilupakan, tutup buku lama kita buku baru, kita berpakat elok-elok, sengketa yang merugikan rakyat tidak patut berpanjangan, demi agenda yang lebih besar seperti kata peribahasa biduk lalu kiambang bertaut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, penyatuan tersebut sememangnya amat dinanti oleh majoriti rakyat Malaysia selepas melihat kerajaan Pakatan Harapan hari ini gagal menjalankan amanah dan gagal mengekalkan keharmonian apabila pelbagai isu-isu sensitif dibangkitkan.

“Dalam masa yang sama penyatuan ini tidak akan mengubah dasar perjuangan kedua-dua parti dan pastinya tidak akan menggugat kepentingan kaum-kaum lain seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.