Terima Kasih Semua, Kemenangan BN Referendum Penolakan Kerajaan PH


KUALA LUMPUR, 3 Mac – “Benar, kemenangan ini tidak akan membawa sebarang makna kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi kemenangan ini akan menjadi referendum penolakan terhadap Kerajaan PH, kata Zakaria Hanafi yang menang dalam PRK DUN Semenyih, semalam.

Katanya, kemenangan Barisan Nasional (BN) adalah penolakan terhadap keangkuhan dan kerakusan mereka untuk ‘memperbaharui’ sesuatu yang tidak patut ‘diperbaharui’.

“’Berjanji’ sesuatu yang tidak patut mereka ‘janjikan’ dan yang terakhir, ‘mempersoal’ sesuatu yang tidak patut dipersoalkan,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Selaras dengan itu beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jentera komponen BN dan khususnya jentera PAS.

“Kepada masyarakat Semenyih, terima kasih kerana memilih saya untuk mewakili anda. Kerana kesepaduan dan kemuafakatan ini, Allah SWT menganugerahkan kita kemenangan bagi meneruskan agenda memperkasa ummah dan membela rakyat.

“Sesungguhnya kejayaan ini hanya boleh dicapai melalui jemaah yakni persefahaman dan usahasama yg erat dan jitu dari BN dan PAS.

“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan kebaikan diatas kemenangan ini. Biarpun sedikit sumbangan kita semua tetapi amat bernilai di sisi perjuangan ummah.”

Katanya, bersama dalam kejatuhan tempoh hari adalah untuk bangkit lebih agung, berdiri lebih teguh dan lebih yakin dengan masa depan.

“Biar semua orang tahu ukhwah kita bermula di Semenyih dan referendum penolakan terhadap mereka juga bermula di Semenyih.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.