Terima Kasih Semua, Kemenangan BN Adalah Titik Tolak Kebangkitan Rakyat


SEMENYIH, 3 Mac – Pengarah Operasi Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz berharap agar kemenangan BN menjadi titik mula kepada kebangkitan rakyat melalui BN dalam menentang rejim zalim Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut mengharapkan kemenangan ini akan menjadi pencetus dan pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan membela dan mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

“Selain itu saya juga ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PRK N.24 Semenyih, Majlis Tertinggi, Badan Perhubungan Negeri-negeri, bahagian-bahagian di dalam negeri Selangor, parti komponen dan sahabat BN, saudara seagama Parti Islam Semalaysia (PAS) dan terutamanya jentera DUN, PDM dan cawangan di Semenyih yang telah berjuang habis-habisan tanpa mengenal penat dan jemu demi memastikan kemenangan BN.

“Saya juga dengan rasa rendah diri ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua agensi, pengamal dan penggerak media rasmi dan tak rasmi yang telah memberikan kerjasama dan komitmen tinggi dalam memastikan kemenangan BN.

“Tidak lupa juga NGO-NGO yang telah bekerja keras sepanjang PRK ini,” ujar beliau melalui satu kenyataan media.

Tambah beliau lagi, kemenangan BN ini juga membuktikan rakyat adalah raja dalam menentukan jatuh bangun sesuatu parti itu.

Justeru, UMNO akan terus berusaha menjadi pembangkang yang matan dalam membawa suara rakyat agar didengari oleh kerajaan. – MediaUMNO