Tahniah Pengundi Semenyih Buat Pilihan Tepat, Pengiktirafan Rakyat Pada Kerjasama UMNO-Pas


SEMENYIH, 3 Mac – Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hasan mengucapkan tahniah kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang membuat pilihan tepat dengan memilih calon Barisan Nasional(BN) Zakaria Hanafi sebagai wakil rakyat mereka.

“Bersyukur kehadrat Allah swt. Keduanya saya mengucapkan tahniah kepada rakyat Semenyih yang telah buat keputusan yang tepat dengan memilih Zakaria Hanafi daripada BN yang mewakili barisan pembangkang yang penting di dalam DUN itu sendiri.

“Tahniah kepada BN… tahniah kepada calon, Zakaria Hanafi dan berharap kita dapat berperanan mewakili rakyat Semenyih dengan sebaiknya,” katanya kepada UMNO-Online secara ringkas di pusat pengumuman rasmi PRK DUN Semenyih, di Dewan Seri Cempaka, di sini malam tadi.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Syahir Mohd Syahir ketika ditemui berkata paling penting keputusan tersebut adalah pengiktirafan rakyat terhadap kerjasama Pas dan UMNO yang dianggap akan membuka laluan lebih besar dan lebih penting lagi agar negara ini tidak jatuh ke tangan mereka yang tidak menepati janji, yang menaburkan fitnah dan sebagainya.

“Ini adalah satu signal yang sangat dinanti-nantikan bermula di Cameron Highlands dan masuk ke Semenyih ini, saya merasakan sebagai satu referendum rakyat bahawa rakyat tidak boleh terus menerima kerajaan yang ada pada hari ini dan rakyat mahu ‘put a stop’.

“Kita lihat dengan turunya tokoh-tokoh besar termasuk pimpinan utama mereka dan menyerang Pas seolah-olah Pas yang bertanding dan ini rakyat menghukum mereka,” katanya.

Katanya lagi beliau berpuas hati dengan gerak kerja jentera parti pelbagai peringkat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh kepimpinan UMNO khususnya pimpinan Selangor amat baik sekali dan mereka boleh bekerjasama ke arah masa depan.

“Rakyat di Semenyih ini, saya rasa akan diikuti banyak lagi kemenangan lain dan akhirnya dapat melegakan rakyat… mudah-mudahan kita dapat melakukan perubahan di peringkat nasional dan negeri insya-Allah.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.