Provokasi PRK Semenyih: SPR Perlu Lebih Adil – Ismail Sabri


SEMENYIH, 2 Mac – Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan kebimbangan dengan cara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan pilihan raya.

Jelas beliau, SPR tidak berlaku adil dalam banyak perkara dan dibimbangi sikap tersebut akan berlarutan sehingga waktu mengira undi.

“Seharusnya SPR bersikap lebih adil bagi memastikan tidak ada kesalahan-kesalahan yang melanggar Akta Pilihan Raya tetapi SPR tidak berlaku adil dalam banyak perkara.

“Sejak malam tadi saya mendapat laporan kempen menggunakan pembesar suara selepas pukul 12 malam dan ini sepatutnya tidak dibenarkan. Hari ini berlaku provokasi di PDM Sesapan Batu Rembau yang mana ‘banner’ provokasi menyalahi akta… bila berlaku pergaduhan SPR datang, pihak polis datang… tetapi selepas dileraikan ‘banner’ yang menjadi pokok pergaduhan tidak diselesaikan… ‘banner’ terbabit tidak diturunkan.

“Ini salah satu perkara yang saya lihat boleh menyebabkan berlaku pergaduhan kerana kelemahan dari segi kawalan SPR,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Ismail Sabri, pihak polis tidak boleh disalahkan dalam hal ini kerana pihak SPR yang bertanggungjawab dalam Akta Pilihan Raya.

“Jangan salahkan polis sebab polis tidak mengawal dari segi Akta Pilihan Raya. Polis mungkin boleh mengawal jika berlaku pergaduhan tetapi akta ditentukan oleh SPR dan SPR mesti ambil tindakan.

“Pada hari ini masih lagi ada penggunaan pembesar suara. Berkempen di hari mengundi adalah melanggar akta pilihan raya tetapi masih tidak ada tindakan.

“Jadi saya nampak SPR terlalu lemah. Saya tidak mengatakan SPR memihak kepada sesiapa. Tidak adil untuk saya bercakap begitu tetapi dari segi kawalan memang lemah. Saya juga difahamkan SPR tidak berlaku adil kepada BN bila mereka tidak membenarkan penggunaan komputer di luar daripada kawasan 50 meter sedangkan itu tidak salah tetapi dianggap salah oleh SPR,” bidas beliau.

Justeru, beliau berharap agar SPR mesti berlaku adil dan tidak boleh takut kepada sesiapa kerana SPR adalah sebuah badan bebas.

Selain itu, beliau turut menyeru kepada semua jentera BN agar terus mematuhi akta pilihan raya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.