Muafakat Politik BN Dan Pas Terserlah Di Pusat Mengundi


SEMENYIH,2 Mac – Hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bukan sahaja diwarnai dengan sedikit provokasi di pusat mengundi Sesapan Batu Rembau pagi tadi, malah memperlihatkan kebersamaan jentera Barisan Nasional (BN) dan Pas di pusat-pusat mengundi yang dibuka awal pagi.

Tinjauan UMNO-Online di beberapa pusat mengundi termasuk di Sekolah Menengah Bandar Seri Putra serta beberapa pusat pengundian lain mendapati kebersamaan itu terserlah dengan masing-masing merayu para pengundi yang memasuki pusat pengundian.

Sambil berborak santai sementara menunggu kereta-kereta yang membawa pengundi keluar, masing-masing tidak ketinggalan untuk berswafoto antara satu dengan yang lain.

Maklumlah… 60 tahun BN dan Pas ‘berseteru’ dengan para penyokong selama ini ‘bergaduh’ di pentas politik baik Pilihan Raya Umun (PRU) mahupun PRK.

Hanya selepas PRU lalu, kepimpinan kedua-dua parti iaitu UMNO dan Pas mengadakan muafakat politik bermula di Seri Setia dan mencatatkan kenangan manis pada PRK Cameron Highlandas baru-baru ini apabila BN menang dengan majoriti berganda.

Di Sekolah Kebangsaan Kantan, Setiausaha Pemuda UMNO Kuala Langat, Haidir Bohari yang kebetulan mempunyai nama yang hampir sama dengan salah seorang jentera Pas turut merayu undi bersama dengan jentera setempat.

Menurut beliau suasana di luar pusat pembuangan undi berlangsung dengan aman dan terkawal dengan masing-masing bersemangat merayu undi.

“Suasana hari ini aman dan provokasi tu biasalah masih ada namun terkawal serta dijaga oleh penyokong masing-masing. Kita masih harapkan pengundi terus keluar dan pada saya kerjasama serta muafakat ini perlu diteruskan bagi memberi impak kepada kerajaan Pakatan Harapan,” katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang perayu undi daripada Jentera Pas Sungai Sekamat, Haidhir Firdaus pula berkata suasana cukup meriah dengan masing-masing merayu undi.

“Saya daripada pagi tadi seawal jam 8.00 pagi melihat suasana di sini agak meriah namun di kawasan lain tidak tahulah macam mana… tetapi di sini cukup meriah dengan penyokong masing-masing.

“Tidak ada unsur-unsur mencari kesalahan mana-mana pihak di sini dan sentiasa teratur. Kita juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang mengawal suasana hari ini.

“Sebagai ahli taat setia kepada parti… pucuk pimpinan kata bantu kita bantulah… cuma setakat mana yang mampulah… saya mampu dari segi merayu undi saya membantu kat situlah. Kalau saya mampu dari segi IT saya bantu kat situlah,” tambahnya.

Apa yang pasti pada PRK DUN Semenyih ini memperlihatkan kerjasama yang erat baik rakan-rakan komponen BN seperti MIC dan MCA serta UMNO dan Pas yang bertungkus lumus sejak awal kempen sehingga pintu pagar pusat pengundian ditutup. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.