BN Menang Di Semenyih Dengan Majoriti 1,914 Undi

SEMENYIH, 2 Mac – Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan dengan majoriti 1,914 undi.

Calonnya Zakaria Hanafi mendapat 19,780 undi sekaligus mengenepikan tiga lagi calon lain yang bertanding iaitu Muhammad Aiman Zainali daripada Pakatan Harapan (PH) 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) 847 undi dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 725 undi. Manakala undi ditolak sebanyak 650 undi.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK DUN Semenyih, Datuk Sayuthi Bakar di pusat penjumlahan rasmi, Dewan Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, di sini, malam tadi.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengarah PRK DUN Semenyih, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama pimpinan BN lain turut berada di pusat pengumuman berkenaan.

Tidak Ketinggalan beberapa pimpinan Pas yang lain termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyudin Hasan.

Sebanyak 24 pusat mengundi membabitkan 116 saluran dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang tadi bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu dalam PRK tersebut.

Sejumlah 53,411 pengundi biasa layak berbuat demikian dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili PH pada 11 Jan lepas.

Jumlah itu berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga 2018 yang dikemas kini sehingga 11 Jan 2019, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

DUN Semenyih mempunyai 53,520 pemilih biasa namun 109 telah mengundi secara pos, menjadikan jumlah yang layak mengundi hari ini ialah 53,411 orang. Pengundian awal bagi PRK itu diadakan Selasa lepas.

PRK Semenyih adalah PRK keenam selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.