Undi BN… Berwaspada Sehingga ‘Masa Kecederaan’ Kempen – Rahman

SEMENYIH, 1 Mac – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengingatkan jentera parti agar terus berwaspada dengan tindakan terdesak pihak yang tidak bertanggungjawab terutama dalam masa-masa kecederaan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (DUN) Semenyih, esok.

Menurut beliau pelbagai perkara boleh berlaku dan kempen pada saat-saat akhir cukup penting agar calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi mendapat kepercayaan pengundi dalam usaha membela dan menjaga kepentingan masyarakat di DUN Semenyih.

“Sebelum ini sudah tular mengenai muafakat antara UMNO dan Pas… ini adalah percubaan yang ‘desperate’ daripada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melagakan antara Pas dan UMNO. Kalau kita turun di peringkat akar umbi sekarang ini di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) kita sedang duduk bersama-sama dan masing-masing berbincang hingga ke saat akhir hari mengundi.

“Hakikatnya akar umbi dan di beberapa kawasan malah di pasar-pasar malam calon diiringi pemimpin BN dan juga Pas. Jadi tidak betul apa yang dicanang oleh sesetengah pihak dan kita perlu berwaspada,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya percaya akan ada pelbagai cubaan sehingga ke saat akhir dan tidak terkejut sekiranya perkara berkenaan berlaku namun apa yang penting jentera sentiasa berwaspada dan pengundi pula perlu meneliti sebarang berita palsu yang mungkin tersebar nanti.

Kerjasama BN dan Pas pada PRK DUN Semenyih dilihat masih cuba diganggu-gugat oleh pihak-pihak tertentu dalam usaha menggangu sokongan dan dokongan pengundi setempat. Esok berlangsungnya PRK berkenaan dan pukul 12 malam akan tamat tempoh berkempen yang bermula 16 Feb lalu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.