UMNO-PAS: Sejarah Baru Penyatuan Dan Solidariti Ummah Bakal Tercipta – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bahawa UMNO dan PAS sama-sama bersetuju untuk maju setapak lagi ke hadapan dalam usaha membentuk penyatuan dan solidariti ummah dalam konteks negara majmuk berbilang bangsa demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Katanya, setelah kejayaan demi kejayaan muafakat sebelum ini, serta sambutan luar biasa rakyat terhadap inisiatif bersejarah ini, maka kedua-dua parti sepakat masing-masing membentuk sebuah jawatankuasa perunding peringkat tertinggi 11 orang untuk memulakan langkah lebih konkrit menyusun pelan strategik, roadmap kerjasama serta tindakan susulan menjayakan agenda ‘taawun’ kedua-dua parti seterusnya.

“Seramai 11 anggota dari UMNO diketuai oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hasan, manakala 11 anggota dari PAS diketuai oleh Timbalan Presiden PAS, YB Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,” maklum beliau menerusi kenyataan media hari ini.

Jelasnya, turut menyertai Jawatankuasa ini ialah Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita/Muslimat kedua-dua dua parti.

“Di pihak UMNO ia turut dianggotai oleh beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) termasuk YAB Menteri Besar (MB) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy dan bekas MB Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.”

Katanya, mesyuarat atau pertemuan pertama kedua-dua pihak ini dijadual berlangsung pada hari Selasa ini jam 3 petang.

“Langkah penyatuan dan solidariti ummah ini dilihat sebagai inisiatif merentas sentimen politik. Ia dilihat sebagai sesuatu yang wajib, apabila melihat kepada senario politik semasa yang cukup mengecewakan rakyat.

“Semoga kita bersama membuka lambaran baru untuk Malaysia yang lebih baik dan ummah yang lebih bermaruah,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Ketereh. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.