PRK Semenyih: ‘PHitnah’ Masih Tak Berubah, Protes PH Dengan Undi BN

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan membidas pihak yang melakukan cubaan untuk memburuk-burukkan Pemuda UMNO dan kepimpinannya dengan menggunakan ‘banner’ dan kain rentang berbaur fitnah di sekitar kawasan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Dengan hanya berbaki sehari tempoh kempen, semalam beberapa banner telah dipasang sekitar Semenyih yang cuba mengaitkan bekas Menteri dan Timbalan Menteri Agama yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia (KPUM), Datuk Dr Asyraf Wajdi dengan kononnya penyelewengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

“Ini bukan sahaja satu tuduhan tidak berasas malah adalah cubaan memburukkan institusi KPUM dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) yang semakin lama semakin menambat hati pengundi muda berbanding Pakatan Harapan (PH) yang makin hari makin ditolak,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.

Tegasnya, jika benar dakwaan banner ini, sudah tentu sudah ada tindakan yang telah diambil oleh SPRM dan PDRM yang kini di bawah pentadbiran PH.

“Hakikatnya tiada laporan atau siasatan telah dilakukan untuk mengaitkan individu-individu tersebut dengan tuduhan tidak berasas ini.

“Cubaan bermain isu YaPEIM ini juga hanyalah suatu tindakan terdesak selepas PH telah dicop gagal oleh rakyat dalam membela kepentingan berkaitan agama Islam dan orang Melayu. Terdesak sangat sehingga eja YaPEIM pun tak betul,” katanya yang merujuk kepada banner yang dipaparkan.

Ujarnya, kalau ada pun yang acah-acah Islamik oleh kerajaan PH hari ini, hanyalah Insurans Great Eastern Singapore yang dipanggil MySalam.

“Mungkin esok skim lain pun boleh dijenamakan dengan singkatan salam, marhaen, infak, kalam, ijma’ atau apa-apa istilah yang kedengaran Melayu-Islamik.

“Namun jenama zahir tidak mampu mengubah hakikat aksi dan tindakan seseorang atau sesuatu pihak, dan aksi PH adalah aksi pakatan penipuan yang gagal di mata rakyat segenap bangsa.

“Selamat mengundi. Protes PH, Undi BN,” katanya khusus kepada pengundi DUN Semenyih yang akan mengundi esok, Sabtu. – MediaUMNO