Pas Sokong Penuh Zakaria Hanafi, Undi BN Untuk PRK Semenyih… Tegas Tuan Ibrahim

SEMENYIH, 1 Mac – “Saya berdiri malam ini untuk menyatakan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian bahawa Pas dan seluruh ahli serta para pengundi menyokong penuh calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.”

Demikian penegasan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika memulakan ucapan pada Ceramah Perdana anjuran bersama UMNO dan Pas di Bukit Mahkota, di sini, malam tadi.

Ceramah yang boleh dianggap ‘Grand Finale’ menjelang hari pengundian Sabtu ini turut menampilkan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai penceramah.

Tuan Ibrahim seterusnya mengharapkan kemenangan yang dicapai pada PRK Parlimen Cameron Highlands dapat diteruskan rentaknya di Semenyih dan juga dapat dikekalkan kemenangan di DUN Rantau selepas ini nanti.

Meneruskan ucapannya, beliau menegaskan rakyat hari ini memberikan harapan kepada perubahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi sebaliknya pula yang berlaku apabila dilihat lebih teruk daripada sebelum ini.

“Kenapa kita undi PH dahulu… kerana kita inginkan harapan baru bagi rakyat Malaysia. Kita nakkan negara kita berubah… kedudukan ekonomi yang lebih baik, kita mahukan kestabilan yang dijanjikan.

“Terus terang saya katakan apabila saya pergi ke mana-mana apa yang rakyat luah mereka sangat kecewa dengan perubahan. Menukar kerajaan rupanya lebih teruk daripada sebelum ini. Apa yang mereka dapat… dulu UMNO dikatakan tidak ada duit, hutang sana sini tetapi macam-macam rakyat dapat dengan pelbagai bantuan.

“Hari ini dengan duit dikatakan tidak ada tetapi bajet besar pada dahulu dan hutang makin bertambah namun rakyat makin teruk. Ke mana pergi… katanya mahu buat kereta ketiga… katanya nak hidupkan semula jambatan bengkok… terbaru kereta terbang pulak. Ini kerajaan yang akan buat benda di luar apa yang kita jangka. Ini memang kerajaan tidak jangka,” katanya.

Tuan Ibrahim seterusnya menambah gelombang fitnah melampau pada PRU-14 apabila ianya bukan sahaja melanda BN malah parti itu sendiri dihimpit dengan tuduhan penerimaan duit daripada UMNO.

“Pada waktu itu Pas diserang habis-habisan dengan RM90 juta… walaupun kita beritahu mana logik kalau UMNO beri duit RM90 juta yang kita lawan semua kerusi yang ditandingi UMNO. Apa makna kalau UMNO beri duit untuk lawan dia… dua kali tidak cerdik… tetapi fitnah. Kalau beri duit kepada Pas dan Pas tidak lawan UMNO ada logik dan munasabahnya.

“Fitnah ini yang penting bukan betul… kalau betul orang tidak panggi fitnah. Yang penting ulang dan ulang balik akhirnya yang tukang fitnah pun pelik macam mana orang percaya. Lama-lama dia pun pelik macam mana aku pun percaya. Hilang fitnah RM90 juta timbul yang baharu pulak,” ujarnya.

Tambahnya beliau, kerajaan yang menang atas dasar fitnah tidak akan kekal bertahan.

“Insya-Allah, kerajaan ini akan tumbang kerana fitnah tidak akan kekal, fitnah tidak boleh bertahan dengan kebenaran… dan kebatilan selama-lamanya tidak boleh ditutup dengan kebenaran. Kebatilan akan lenyap apabila munculnya kebenaran,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.