Melayu Perlu Bersatu… Kerjasama UMNO-Pas Realisasikan Agenda Penyatuan Ummah

SEMENYIH, 1 Mac – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa masyarakat Melayu Islam perlu bersatu kerana jika terus berpecah dan jika orang Islam terus berbeza pendapat maka akhirnya bangsa ini akan menjadi orang yang berdagang di tanah air sendiri.

Katanya, masyarakat Melayu telah terpecah lama disebabkan dua parti utama Melayu, UMNO dan Pas namun dengan kerjasama yang dibuat maka ia merealisasikan agenda yang lebih besar.

“Insya-Allah inilah agenda untuk kita menjayakan penyatuan dan perpaduan ummah… ini jelas kelihatan masyarakat sudah bertaut balik kerana dua dominasi parti terbesar orang Melayu sudah boleh bersama… masyarakat dan penyokong akan bersama, itulah kemesraan yang diterjemahkan.

“Orang Melayu semakin menyedari dan merasa gelisah… rasa terancam di tanah air sendiri disebabkan kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memprovokasi isu Islam, ini menyebabkan orang Islam sudah mula sedar dan buka mata dan mula berfikir untuk kita bersatu,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam Diskusi N24 Semenyih bertajuk ‘Mesej Buat Pengundi Semenyih’ yang disiarkan menerusi Facebook UMNO Online, malam ini.

Katanya, ada masjid-masjid dan orang kampung dulu berpecah-belah dek kerana kedua parti Melayu ini tidak dapat duduk bersama.

“… tetapi setelah berusaha dan bersama-sama berunding… kemana kita nak bawa orang Melayu, apa masa depan orang Melayu di tanah air sendiri? Agama kita makin terancam, dihina… diejek orang… disitulah bibit dan buah untuk menyusun kerjasama dua parti terbesat di tanah air.

“Saya yakin orang sudah boleh menilai, tak guna kita membawa budaya memaki hamun orang, menuding jari kepada orang, keutamaan adalah orang Melayu mesti bersatu, itulah agenda utama, kalau tidak menggunakan formula penyatuan ummah kita akan hancur.

“Inilah masa terbaik agenda penyatuan ummah kerana jika dibiarkan orang Melayu akan terhakis, terpinggir dan berpecah belah kepada enam-tujuh kumpulan. Adakah kita tidak boleh berfikir?”

Soal beliau, apakah kita sebagai anak Melayu dan anak watan di tanah air hendak membiarkan perkara ini?

“Siapa kita yang hendak mempersoalkan akidah seseorang dan apa yang patut kita buat ialah menyeru kepada kebaikan, perpaduan, penyatuan. ‘Tak dapat jadi garam jangan jadi langau’,

“Apakah salah saya menyuruh orang Melayu bersatu padu? Apakah salah saya menyeru orang Islam bersama-sama bersatu padu? Apakah undang-undang negara ini sudah berubah?”

Tegasnya, apa yang beliau nampak ialah perlunya usaha menyatupadukan rakyat.

“Menyatupadukan orang Melayu lepas tu baru menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

“Kalau sentiasa nak berpecah sampai bila? Janganlah kita terikat dan tersangkut dengan budaya lama, budaya lama… budak-budak muda pun dah menyampah.

“Cukuplah yang sudah-sudah tu dan bawalah kepada politik matang kerana dalam masyarakat majmuk ini jika ada pergeseran kaum cukup merbahaya,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.