Kerjasama PAS Dan UMNO Makin Hari Makin Rapat – Tuan Ibrahim


SEMENYIH, 1 Mac – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man percaya kerjasama politik antara parti itu dan UMNO yang makin hari makin rapat merupakan perkara yang paling ditakuti oleh Pakatan Harapan (PH).

“Apa yang menarik muafakat ini makin hari makin rapat dan inilah yang paling ditakuti PH. Mereka serang Pas sebab takut Pas mengadakan kerjasama dengan UMNO. Mereka sangat bimbang. Muafakat ini memang dinanti oleh semua rakyat… ahli UMNO tunggu dan ahli Pas pun tunggu, cuma siapa yang mahu mula… macam silat pulut bila nak lawan asyik main bunga silat sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana anjuran bersama UMNO dan Pas di Bukit Mahkota di sini malam tadi bersama Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan, sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Menceritakan bibit-bibit kerjasama berkenaan, beliau memberitahu apa yang berlaku sebenarnya adalah secara spontan dan setiap benda yang berlaku ada hikmah tersendiri.

“Apa yang jelas perubahan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu berlaku secara spontan dan tidak melalui mesyuarat diperingkat kepimpinan tertinggi parti. Kebetulan selepas PRU Selangor banyak PRK dan Pas beri kerjasama.

“Tempat Pas tidak bertanding kita beritahu UMNO kita tolong UMNO… UMNO pun tekejut… betul ke… lain macam bunyi. Saya katakan betul, dan apabila Pas bertanding UMNO pula sokong Pas. Setiap benda berlaku ada hikmah,” tambahnya.

Berkongsi pengalaman Pas sebelum ini, beliau menegaskan Pas sebuah parti politik yang mengadakan kerjasama dengan semua pihak dan parti itu bukanlah parti rasis dan juga bukanlah Taliban.

“Pas juga bukan aliran parti yang cuba digambarkan seolah-olah kita menolak idea muafakat negara dan sebagainya. Waktu Datuk Onn Jaafar keluar UMNO tubuh Parti Negara, Pas bekerjasama dan bagi kerusi untuk ditandingi di Kuala Terengganu, jentera Pas turun kempen dan menang. Pas mengadakan kerjasama dengan Tengku Razaleigh yang menubuhkan Parti Semangat 46 menerusi Barisan Alternatif… tiada masalah dan demikian juga waktu Datuk Seri Anwar dipecat daripada UMNO kita bersama….

“Saya ingin berkongsi pengalaman turun ke beberapa tempat… ahli-ahli UMNO datang, ahli-ahli Pas duduk sama ada diperingkat tertinggi hingga ke bawah mereka sangat ingin melihat muafakat orang Melayu duduk bersama sebagai satu parti politik. Insya-Allah PRU-15 Pas bersama dengan UMNO kita akan duduk melakukan kerjasama politik bagi mengangkat kemenangan kita kembali insya-Allah,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.